DBM muncul juara, rangkul pingat emas bola jaring

13 Nov 2026 - 7:54am

Oleh : Muhammad Aiman Najib bin Hamzah

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Khamis, 12 November. – Daerah Brunei dan Muara (DBM) berjaya mengungguli acara sukan bola jaring pada Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V (SKBD Ke-V) Tahun 2026 selepas menduduki tangga teratas dengan mengumpul sebanyak 11 mata, sekali gus merangkul pingat emas pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), di sini.

Berkenan berangkat dan seterusnya mengurniakan penyampaian pingat kepada para pemenang, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.

Pada hari terakhir perlawanan bola jaring berkenaan, kontinjen DBM menentang Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) yang menyaksikan aksi sengit apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang kompetitif.

Namun, kelebihan strategi dan kerjasama berpasukan yang mantap membolehkan DBM menguasai perlawanan, sekali gus mencatatkan kemenangan dengan keputusan jaringan 49-46.

Sementara itu, perlawanan juga menyaksikan kontinjen Daerah Temburong berjaya menewaskan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB) dengan keputusan jaringan 46-27, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tempat ketiga keseluruhan.

Keputusan keseluruhan pertandingan menyaksikan kontinjen DBM dinobatkan sebagai pemenang membawa pulang pingat emas, manakala pingat perak menjadi milik MS ABDB yang menduduki tempat kedua. Sementara itu, kontinjen Daerah Temburong melengkapkan kedudukan tiga pasukan terbaik dengan meraih pingat gangsa.

Penganjuran SKBD Ke-V Tahun 2026 antara lain bertujuan untuk menyediakan platform kepada para atlet mempamerkan kebolehan dan potensi masing-masing, di samping mengenal pasti serta mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Selain itu, kejohanan berkenaan juga berperanan dalam memperkukuh pembangunan sukan negara melalui semangat kesukanan, disiplin, kerjasama berpasukan serta persaingan yang sihat dalam kalangan atlet.

Pada masa yang sama, penganjurannya turut memberikan peluang kepada para pegawai teknikal, pengadil dan petugas kejohanan untuk meningkatkan kemahiran, pengalaman serta kecekapan dalam pengendalian pertandingan, sekali gus menyumbang ke arah peningkatan mutu penganjuran kejohanan sukan di negara ini.