Delegasi PLAN adakan lawatan ke UTB

26 Jul 2026 - 6:10am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

TUNGKU LINK, Sabtu, 25 Julai. - Sebagai sebahagian daripada program pertukaran ketenteraan tahunan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan China, Universiti Teknologi Brunei (UTB) pagi tadi mengalu-alukan kehadiran 83 delegasi daripada Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAN).

Delegasi tersebut diketuai oleh Head of Teaching Group, PLAN Task Group, Kapten Chen Xiaofeng yang terdiri daripada pegawai kadet laut yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seperti navigasi, teknologi marin, automasi mekanikal dan teknologi maklumat elektronik.

Lawatan tersebut menyerlahkan lagi nilai kerjasama akademik dan profesional merentas sempadan. Delegasi turut diiringi oleh Ketua Bahagian Politik, Kedutaan Republik Rakyat China di NBD, Li Jibin.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Dr. Tan Soon Jiann diikuti dengan Sesi Dialog Bersama Pegawai-pegawai Utama UTB.

Pertemuan tersebut membuka ruang kepada perbincangan mengenai pendidikan, teknologi dan kerjasama pada masa hadapan, sekali gus mencerminkan komitmen UTB dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan rakan antarabangsa.

Delegasi kemudiannya dibawa melawat beberapa kemudahan di UTB, termasuk AI Shop, Makmal Teknologi Makanan dan Eco Marathon Robotics. Lawatan ini mempamerkan penyelidikan inovatif serta kemajuan teknologi UTB, di samping memberi peluang kepada delegasi untuk melihat sumbangan universiti terhadap pembangunan mampan.

Lawatan PLAN ini mencerminkan komitmen UTB dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, memajukan penyelidikan serta meraikan empat dekad kecemerlangan akademik dan inovasi. Ia juga menyerlahkan hubungan persahabatan yang kukuh dan berkekalan antara NBD dengan Republik Rakyat China.