Denda kompaun akibat kesalahan membuang sampah

27 Og 2026 - 4:53am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan

GADONG, Rabu, 26 Ogos. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) melalui Seksyen Penguatkuasaan telah mengenakan denda kompaun ke atas seorang individu warga asing berikutan kesalahan membuang sampah di tempat awam di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) pada 8 Ogos 2026.

Individu berkenaan, Awang Angka Maulana telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND100 di bawah Bab 12 (1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) selepas didapati membuang sampah di kawasan luar Pasar Ikan Gadong.

Perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut telah berjaya dirakam dan dikenal pasti menerusi Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan Pasar Ikan Gadong pada 1 Ogos 2026, kira-kira pukul 9.36 pagi.

Jabatan Bandaran BSB ingin menegaskan dan mengingatkan orang ramai, pihak syarikat, serta pemilik premis perniagaan bahawa menjaga kebersihan alam sekitar adalah kewajipan bersama.

Di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), tindakan undang-undang boleh dikenakan di mana denda maksimum jika sabit kesalahan boleh mencapai BND30,000, hukuman penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dan pihak pengusaha adalah disarankan untuk tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan, atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap, cecair, mahupun sisa perniagaan di tempat awam.

Sebarang maklumat atau aduan berhubung kesalahan kebersihan boleh disalurkan terus kepada pihak Penguatkuasaan melalui Talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan di +673 7291122.