Didenda akibat menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen

9 Og 2026 - 5:37am

Siaran Akhbar : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Seorang perempuan warganegara tempatan berumur 49 tahun, Lee Fei Hun @ Sharon Lee telah dijatuhkan hukuman denda di hadapan Mahkamah Majistret pada hari ini, atas tuduhan menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.

Di bawah Bab 6(1), Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, tiada seorang pun boleh menjalankan agensi pekerjaan melainkan dia adalah pemegang suatu lesen yang diberikan oleh Pesuruhjaya Buruh.

Dalam perbicaraan kes berkenaan, Lee Fei Hun @ Sharon Lee, yang berwakilkan peguam bela, iaitu Dayang Maisarah binti Mahusin dari Abrahams, Davidson & Co., telah didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Abdul Musawwir bin Awang Haji Mahali dengan satu tuduhan di bawah Bab 6(1), Perintah Agensi Pekerjaan 2004 di depan Majistret Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

Tertuduh didapati bersalah bagi kesalahan yang telah dilakukan pada suatu ketika antara Mac 2024 hingga Julai 2024.

Siasatan daripada Bahagian Agensi Pekerjaan di Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP) telah mendedahkan bahawa tertuduh telah terlibat dalam aktiviti seperti urusan pengambilan pekerja asing, membuat perjumpaan dengan majikan bagi urusan pengambilan pekerja asing, menerima bayaran daripada majikan, memberikan ‘quotation’, mengeluarkan resit syarikat Eully Enterprise untuk pembayaran, memberikan biodata pekerja asing kepada majikan, mendatangkan pekerja asing, memulangkan pekerja asing, dan lain-lain proses yang melibatkan pengurusan pengambilan pekerja asing.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh telah dijatuhkan hukuman denda di bawah Bab 6(2), Perintah Agensi Pekerjaan 2004 sebanyak BND3,000. Jika gagal membayar denda, hukuman penjara selama tiga bulan bagi kesalahan yang dilakukan.

Tertuduh diberikan tempoh sehingga Isnin, 10 Ogos 2026 untuk menjelaskan jumlah hukuman denda berkenaan.

JTMP ingin mengingatkan orang ramai untuk tidak menjalankan sebarang kegiatan agensi pekerjaan khasnya bagi tujuan proses pengambilan, membekalkan dan mendatangkan pekerja pekerja asing ke Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk tujuan pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.

JTMP memohon kerjasama orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan sebarang pelanggaran Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, khususnya bagi kesalahan menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dengan menghubungi talian Hotline Bahagian Agensi Pekerjaan di talian +673 8753594 atau e-mel kepada ‘agensi.pekerjaan@buruh.gov.bn’.

Untuk maklumat terkini bagi senarai agensi pekerjaan yang berlesen di JTMP, orang ramai bolehlah menghubungi atau e-mel bahagian berkenaan.