DPMM FC kutip 3 mata penuh

31 Okt 2026 - 7:48am

Oleh : Pg.Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 30 Oktober. - DPMM FC berjaya menafikan hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk meraih kemenangan apabila menewaskan pasukan itu 3 - 1 dalam aksi Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

DPMM FC hampir membuka jaringan seawal minit kedua menerusi percubaan Miguel Oliveira, namun bola hanya terkena tiang gol.

Bagaimanapun, Jordan Murray berjaya meletakkan DPMM FC di hadapan pada minit ke-12 menerusi tandukan yang melepasi penjaga gol NSFC, Syahmi Adib Haikal.

Pada minit ke-34, serangan NSFC membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Luqman Hakim.

Jaringan berkenaan pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), gol tersebut disahkan sekali gus menjadi jaringan pertama Luqman Hakim pada musim ini.

Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menambah jaringan, namun kedudukan 1 - 1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, NSFC terus memberi tekanan ke arah barisan pertahanan DPMM FC dalam usaha memburu jaringan.

Pada minit ke-88, DPMM FC berjaya menggandakan jaringan menerusi Dalberto Luan menjadikan pasukan DPMM FC berada dalam kedudukan selesa.

Oscar Santis kemudian memastikan kemenangan berpihak kepada DPMM FC menerusi jaringan ketiga untuk mengesahkan kemenangan 3 - 1.

Keputusan tersebut menyaksikan DPMM FC kekal di tangga keempat liga dengan mengumpul 12 mata, manakala NSFC berada di tangga kelapan dengan lima mata.

DPMM FC seterusnya akan berdepan JDT dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada 8 November ini.