Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohammad Hasif Matzin
TUNGKU LINK, Rabu, 28 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik pagi tadi mengadakan EduTALK 2026 sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi pagi pada hari pertama, Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
EduTALK 2026 berlangsung selama dua hari, bermula 28 hingga 29 Oktober 2026, merangkumi empat sesi yang diadakan pada sebelah pagi dan petang.
Program yang dilaksanakan dengan pengisian dan format yang serupa bagi setiap sesi berkenaan menghimpunkan seramai 6,600 pendidik, terdiri daripada guru dan pemimpin sekolah dari seluruh negara.
Bertemakan 'Hati dan Minda Guru : Meneguhkan Semula Mengapa Kita Mendidik', EduTALK 2026 bertujuan untuk memperkukuh tujuan dan identiti profesional pendidik serta memperteguh komitmen mereka terhadap profesion keguruan.
Program berkenaan turut menekankan kepentingan kesejahteraan dan daya tahan pendidik, pengukuhan amalan pendidikan yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), serta kesiapsiagaan guru dalam menghadapi perubahan dan cabaran landskap pendidikan masa kini.
Sesi pagi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina 'Othman, Tutong, Awang Haji Ismail bin Haji Brahim, kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Awang Haji Tuah, selaku Pengerusi EduTALK 2026.
Sejurus itu, sesi diteruskan dengan penyampaian ucaptama yang disampaikan oleh Dekan Projek Khas dan Pengarah Pusat, Singapore Centre for Character and Citizenship Education (SCCCE), National Institute of Education (NIE), Nanyang Technological University (NTU), Republik Singapura, Profesor Tan Oon Seng.
Beliau merupakan tokoh pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang pendidikan guru dan pembangunan sahsiah serta pencetus Model V³SK yang menekankan nilai sebagai teras utama pengajaran dan pembelajaran.
Ucaptama berkenaan mengupas empat tema utama, iaitu 'Mengapa Kita Mendidik', 'Apa yang Menguatkan Kita', 'Nilai dan Keprihatinan' serta 'Minda yang Terbuka kepada Dunia'.
Perbincangan turut menyentuh masa depan pendidikan dalam era Kecerdasan Buatan (AI), dengan memberi penekanan terhadap kepentingan pertimbangan profesional, empati, kepimpinan beretika serta hubungan kemanusiaan yang bermakna dalam profesion keguruan.
Setiap sesi merangkumi penyampaian ucaptama dan sesi Learning Circle yang dikendalikan oleh Fasilitator Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), bagi menggalakkan refleksi profesional, dialog bermakna, serta pembelajaran kolaboratif.
Dapatan dan hasil refleksi yang dihimpunkan sepanjang program berkenaan akan dimanfaatkan dalam perancangan program pembelajaran profesional dan pembangunan kepimpinan BDLTA bagi 2027.
Selain itu, EduTalk 2026 turut mendukung usaha ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035, khususnya Matlamat 1 : Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, serta menyumbang kepada pelaksanaan keutamaan strategik yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023–2027.
Melalui inisiatif berkenaan, Kementerian Pendidikan terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa profesion keguruan serta menyokong pembangunan profesional warga pendidik sebagai pemangkin kecemerlangan pendidikan dan pembangunan negara.
Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan; ketua-ketua jabatan, dan para pegawai dari Kementerian Pendidikan.