Hargai setiap cabaran, pengorbanan dalam meningkatkan perkembangan diri

12 Og 2026 - 6:37am

Berita dan Foto : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Tiga graduan Ijazah Sarjana Universiti Brunei Darussalam (UBD) berkongsi pengalaman penuh cabaran, pengorbanan dan harapan mereka selepas berjaya menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UBD Ke-38 Tahun 2026 yang berlangsung hari ini.

Dayang Athiyah Najihah binti Haji Ahmad, graduan Master of Management, meluahkan rasa syukur dan terharu kerana akhirnya dapat meraikan detik yang telah lama dinantikan selepas melalui pelbagai usaha, kerja keras dan pengorbanan sepanjang pengajiannya.

Beliau mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapi ialah menyesuaikan diri untuk kembali bergelar pelajar selepas beberapa tahun menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, khususnya dalam aspek penulisan akademik yang memerlukan komitmen dan usaha yang tinggi.

Menurutnya, sokongan daripada rakan-rakan lama dan baharu serta dorongan berterusan daripada keluarga menjadi sumber kekuatan utama untuk terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian.

Dayang Athiyah Najihah turut menyifatkan pengalaman menimba ilmu daripada para pensyarah di School of Business and Economics (SBE) serta perbincangan bersama rakan sekelas sebagai antara pengalaman paling bermakna kerana bukan sahaja memperkaya ilmu pengetahuan, malah membantu membentuk dirinya menjadi individu yang lebih matang.

Beliau berharap untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menceburi bidang pendidikan bagi berkongsi ilmu dengan generasi akan datang serta menjadi inspirasi kepada para pelajar.

Sementara itu Dayang Nur Nabila Amna binti Haji Hamdani, graduan Master of Islamic Civilization and Contemporary Issues pula berkata, cabaran utama yang dihadapinya ialah mengekalkan momentum ketika hasil usaha tidak segera kelihatan serta mengurus ketidakpastian sepanjang proses penyelidikan yang panjang.

Beliau menjelaskan bahawa motivasi yang turun naik dan tempoh penyelidikan yang panjang kadangkala menyebabkan rasa penat dan hilang semangat, namun sokongan daripada ibu bapa, keluarga, pasangan, rakan-rakan penyelidikan dan penyelia akademik membantunya terus bertahan.

Menurutnya lagi, pencapaian paling bermakna bukan sekadar berjaya menyiapkan tesis, tetapi perubahan cara berfikir yang menjadikannya lebih sabar menghadapi ketidakpastian, lebih kritikal dalam menilai sesuatu perkara dan lebih berdikari dalam mencari jawapan.

Dayang Nur Nabila Amna juga menghargai peluang berinteraksi dengan penyelia, pensyarah dan rakan penyelidik daripada pelbagai fakulti kerana pengalaman berkenaan membuka ruang untuk memahami pendekatan, cabaran dan perspektif yang berbeza.

Mengimbas detik menerima ijazah, Dayang Nur Nabila Amna menggambarkan perasaan lega, syukur, bangga dan terharu yang hadir serentak apabila mengenangkan segala cabaran, usaha dan pengorbanan sepanjang pengajian.

Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengikuti Master by Research agar tidak melihat perjalanan berkenaan hanya sebagai usaha menghasilkan tesis, sebaliknya menghargai ilmu, persahabatan, pengalaman dan hubungan yang dibina sepanjang proses pengajian.

Manakala bagi Dayang Nur Najihah binti Abdul Hamid, graduan Master of Arts (Brunei Studies) pula menjelaskan, menerima ijazah sarjana disifatkan sebagai satu detik yang sukar dipercayai selepas pelbagai cabaran yang ditempuhi sepanjang pengajian.

Beliau berkongsi bahawa cabaran paling besar ialah menunggu keputusan peperiksaan bagi program Master by Research yang bergantung sepenuhnya kepada penilaian tesis. Tempoh pemeriksaan yang mengambil masa lebih setahun menimbulkan rasa cemas dan keraguan sama ada beliau akan berhasil menyelesaikan pengajian.

Dalam masa yang sama, Dayang Nur Najihah perlu menyeimbangkan pengajian dengan tanggungjawab sebagai ibu buat pertama kali. Walaupun berdepan cabaran besar, beliau memilih untuk terus meneruskan penyelidikan tanpa mengambil cuti bersalin dan berusaha menyiapkan kajian mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau menyifatkan suami, ibu, bapa dan penyelianya sebagai empat tonggak utama yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan sepanjang perjalanan akademiknya.

Menurutnya lagi, pengalaman menjalankan penyelidikan telah banyak membentuk perkembangan peribadi dengan menjadikannya lebih sabar, berdikari dan selesa berhadapan dengan ketidakpastian, memandangkan penyelidikan tidak sentiasa memberikan jawapan yang segera.

Kini bertugas sebagai seorang guru, Dayang Nur Najihah berharap dapat terus berkembang dalam bidang pendidikan dan kembali ke UBD pada masa hadapan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Mengimbas detik namanya disebut untuk menerima ijazah, beliau merasakan seolah-olah membawa bersama segala usaha, kesukaran, pengorbanan dan kerja keras yang telah membawanya ke tahap tersebut, sekali gus menyedarkan bahawa segala pengorbanan yang dilakukan benar-benar berbaloi.

Dayang Nur Najihah turut berpesan kepada para pelajar Master by Research supaya menanamkan kesabaran sepenuhnya dan terus melangkah walaupun kemajuan dirasakan perlahan, kerana penyelidikan bukanlah perjalanan yang mudah dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan bukanlah tanda kegagalan, sebaliknya langkah bijak untuk menjadikan perjalanan akademik lebih terurus dan bermakna.