Hasil pemantauan situasi air kemerah-merahan di NBD

11 Okt 2026 - 4:24am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perikanan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. - Jabatan Perikanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri ingin memaklumkan bahawa hasil daripada pemantauan pihak Jabatan Perikanan dengan kerjasama Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Markas Angkatan Bersama (MAB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta laporan analisis makmal yang telah dijalankan pada 8 Oktober hingga 10 Oktober 2026 mendapati bahawa organisma penyebab air kemerah-merahan iaitu Pyrodinium Bahamense masih dikesan dan telah merebak ke perairan pesisir pantai Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara.

Sekali lagi, Jabatan Perikanan mengingatkan agar orang ramai supaya tidak mengambil atau memakan ikan-ikan kecil seperti aur-aur, tamban, basong-basong, pusu dan kuasi, serta bubuk dan semua jenis kerang-kerangan, dan juga sebarang ikan yang dijumpai mati, terutamanya dari kawasan perairan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terjejas, kerana ikan tersebut berisiko dicemari toksin yang dihasilkan oleh organisma penyebab kejadian berkenaan.

Pendedahan kepada toksin ini boleh menyebabkan keracunan kepada manusia dengan gejala seperti cirit-birit, muntah-muntah, kebas dan kelumpuhan otot, serta dalam kes yang serius, boleh menyebabkan kematian. Para nelayan pula adalah dilarang sama sekali menangkap ikan-ikan kecil atau mengutip kerang-kerangan dari kawasan perairan NBD yang terjejas.

Sebagai langkah berjaga-jaga, para penjual ikan turut dinasihatkan supaya tidak menjual ikan-ikan kecil yang disenaraikan, khususnya yang diperoleh dari kawasan yang terjejas oleh air kemerah-merahan.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan penggunaan air laut dari kawasan terjejas serta tidak melakukan sebarang aktiviti air, termasuk mandi atau berenang, di kawasan pesisir pantai berkenaan sehingga pemberitahuan selanjutnya.

Dalam hal ini, Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan pemantauan penjualan ikan di pasar-pasar basah bagi memastikan tiada penjualan ikan-ikan yang ditegah. Jabatan Perikanan juga ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh jabatan adalah amat penting bagi melindungi kesihatan serta keselamatan orang ramai sepanjang kejadian air kemerah-merahan ini.

Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarluaskan maklumat yang belum disahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam. Orang ramai hendaklah merujuk makluman rasmi melalui laman web dan akaun media sosial Jabatan Perikanan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai situasi semasa.

Sebarang laporan dan pertanyaan berkaitan boleh disalurkan melalui talian +673 2770068 pada waktu bekerja atau hotline +673 8984526, serta melalui e-mel di enquiry@fisheries.gov.bn.

Jabatan Perikanan akan terus mempergiat pemantauan terhadap kejadian air kemerah-merahan ini serta menyalurkan maklumat rasmi dan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Kerjasama orang ramai dalam mematuhi nasihat yang dikeluarkan dan melaporkan sebarang kejadian berkaitan amat dihargai bagi membantu usaha pemantauan serta melindungi kesihatan dan keselamatan awam.