Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat terus diperkukuh melalui inisiatif kebajikan yang bukan sahaja membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, malah menyemai semangat kebersamaan dan sokongan sosial dalam membina kehidupan yang lebih baik.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Keperluan Asas kepada Rakan Seliaan (RS) dan Ibu-ibu Tunggal yang berlangsung di Kawasan Lapang Dermaga Diraja, BSB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran BSB, Pengiran Haji Liyan bin Pengiran Haji Mohammad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penyelia Kerohanian Pusat Reintegrasi Jabatan Penjara, Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam.
Setelah itu majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada seramai 40 penerima terdiri daripada RS dari keempat daerah dan ibu-ibu tunggal dari Daerah Temburong.
Penyampaian kepada ibu-ibu tunggal disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, manakala penyampaian bagi RS disempurnakan oleh wakil daripada Syarikat Asia Enteprise dan Syarikat Yuni ku.
Majlis ini diadakan bersempena Ekspo Produk Penjara Se-Borneo yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 16 hingga 18 Oktober 2026.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen Jabatan Penjara dalam memperkukuh usaha pemulihan dan reintegrasi sosial melalui pendekatan yang turut menitikberatkan aspek kebajikan, sokongan dan kesejahteraan RS.
Inisiatif ini juga menjadi wadah untuk menyemai nilai keprihatinan serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak dalam membantu golongan yang memerlukan.
Sumbangan barangan keperluan asas yang disampaikan kepada para penerima merupakan hasil sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan yang turut menyokong inisiatif kebajikan ini.
Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban perbelanjaan harian RS dan golongan yang memerlukan, di samping mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Penglibatan sektor swasta dan orang perseorangan dalam menjayakan majlis ini turut mencerminkan semangat tanggungjawab sosial serta kerjasama pelbagai pihak dalam membantu golongan yang memerlukan.
Kerjasama seumpama ini juga memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam memberikan manfaat secara langsung kepada golongan sasaran.
Penganjuran majlis bersempena Ekspo Produk Penjara Se-Borneo 2026 turut memperlihatkan bahawa usaha pemulihan dan reintegrasi sosial merangkumi bukan sahaja program yang dilaksanakan di institusi penjara, tetapi juga sokongan berterusan selepas pembebasan.
Melalui sokongan pelbagai pihak, RS diharap dapat dibantu dalam membina semula kehidupan serta kembali menyumbang secara positif kepada masyarakat.