Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BERAKAS, Isnin, 24 Ogos. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya lewat petang tadi mengadakan Majlis Penutup Dikir sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks JPM, di sini.
Hadir ialah Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Atur cara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti bacaan wirid, doa dan Surah Al-Fatihah.
Ia kemudian disusuli dengan Dikir Assalamualaika dan Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan pendikir Al-Alzam Kumpulan Tausyeh.
Acara diteruskan dengan Dikir Marhaban, diikuti dengan bacaan doa selepas dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Bagi mengakhiri majlis, Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah serta doa diadakan menandakan majlis ditutup.
Majlis pada tahun ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, JPM selaku Pengerusi Majlis dengan dikendalikan bersama oleh Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Kehakiman Negara.