Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Persekutuan Rusia pada 24 hingga 25 November 2026, atas undangan dari Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.
Semasa Keberangkatan Negara berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengadakan Majlis Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, di Moscow bagi membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama bagi mengesahkan semula dan memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Persekutuan Rusia.
Hubungan diplomatik antara NBD dan Persekutuan Rusia dijalinkan pada 1 Oktober 1991, dan tahun 2026 menandakan Ulang Tahun Ke-35 hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara. Kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama yang luas dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan serta pertukaran hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.
Ini merupakan keberangkatan kali ke-2 Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Persekutuan Rusia sejak 2005. Kali terakhir Kebawah DYMM berangkat ke Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia pada 18 Jun 2026, bersempena dengan Ulang Tahun Hubungan ASEAN-Rusia ke-35.