Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
KAMPUNG MANGGIS / MADANG, Jumaat, 14 Ogos. - Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Persembahan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis / Madang, malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Ahmad.
Turut hadir, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan lelaki Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Persembahan Dikir Syarafil Anam adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping bagi mengenang jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kementerian Kewangan akan meneruskan Majlis Persembahan Dikir ke Masjid Universiti Brunei Darussalam pada Khamis, 20 Ogos 2026 nanti.
Majlis berkenaan diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan dan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.