Kerjasama antarabangsa diperkukuh bagi melindungi sistem digital

16 Okt 2026 - 8:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 15 Oktober. - 11th Singapore International Cyber Week (SICW) telah berlangsung pada 12 hingga 15 Oktober 2026 di Republik Singapura, dengan menghimpunkan menteri-menteri, penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar keselamatan siber dari Negara-negara Anggota ASEAN, Rakan-rakan Dialog serta pertubuhan antarabangsa.

 Acara berkenaan menyediakan platform untuk membincangkan ancaman siber yang semakin berkembang, bertukar pandangan mengenai dasar serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam melindungi sistem digital dan memelihara kepercayaan masyarakat.

 Bertemakan ‘Cyber at a Crossroads : Shaping the New Cyber Order’, SICW 2026 memberikan tumpuan kepada cabaran keselamatan siber yang semakin kompleks, khususnya berkaitan dengan implikasi penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), perlindungan Critical Information Infrastructure (CII), jenayah siber rentas sempadan serta kesiapsiagaan dalam menghadapi perkembangan teknologi baharu.

 Persidangan berkenaan turut menjadi platform untuk bertukar pandangan dasar, pengalaman dan pendekatan dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan siber, meningkatkan daya tahan sistem digital serta memelihara kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan digital.

 Dua mesyuarat peringkat menteri telah diadakan bersempena SICW 2026 iaitu Inaugural SICW Ministerial Roundtable pada 13 Oktober 2026, yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K. Shanmugam, telah membincangkan ancaman siber yang melibatkan AI, termasuk penyalahgunaannya dalam penipuan dalam talian, pemalsuan imej dan suara (‘deepfakes’) serta kegiatan penipuan lain.

 Perbincangan menekankan kesan ancaman berkenaan terhadap infrastruktur kritikal, perkhidmatan digital dan kepercayaan masyarakat, di samping keperluan kritikal bagi tadbir urus AI yang bertanggungjawab, perlindungan data serta pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan industri.

 

Sementara itu, Mesyuarat ASEAN Ministerial Conference on Cybersecurity (AMCC) Ke-11 pula diadakan pada 14 Oktober 2026 dan dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan serta Menteri yang Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dan Kumpulan Negara Pintar Republik Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo.

Mesyuarat mengalu-alukan ASEAN Cybersecurity Cooperation Strategy (ACCS) 2026-2030 dan membincangkan usaha memperkukuh daya tahan keselamatan siber serantau, termasuk pelaksanaan selanjutnya ASEAN Regional Computer Emergency Response Team (CERT) dan Information Sharing Mechanism (ISM) bagi menyokong perkongsian maklumat ancaman siber secara tepat pada masanya serta tindak balas yang terselaras terhadap insiden siber. 

Turut dibincangkan ialah serangan ‘ransomware’, penipuan siber rentas sempadan, piawaian keselamatan siber bagi peranti Internet of Things (IoT), risiko berkaitan AI dan teknologi kuantum, pembangunan kapasiti serta kerjasama teknikal dengan Rakan-rakan Dialog ASEAN.

 Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), perbincangan berkenaan mengukuhkan kepentingan bagi meningkatkan perlindungan CII, keupayaan pengesanan awal ancaman dan tindak balas terhadap insiden siber, di samping menggalakkan penggunaan AI secara selamat dan bertanggungjawab.

 Keutamaan berkenaan adalah selaras dengan Strategi Data dan AI di bawah Digital Brunei 2030 serta usaha berterusan memperkukuh tadbir urus keselamatan siber dan kebolehpercayaan perkhidmatan digital kerajaan.

 Sementara di peringkat serantau pula, kerjasama dengan Negara-negara Anggota ASEAN dan Rakan-rakan Dialog memberi peluang kepada NBD untuk memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara melalui perkongsian maklumat ancaman siber yang tepat pada masanya, penyelarasan tindak balas terhadap insiden siber rentas sempadan serta pembangunan kapasiti, termasuk melalui ASEAN Regional CERT. 

Kerjasama berkenaan juga membolehkan NBD memanfaatkan kepakaran dan pengalaman serantau dalam menyokong penyelarasan piawaian keselamatan siber bagi IoT serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi risiko baharu yang berkaitan dengan AI termaju dan teknologi kuantum. Diplomasi siber turut memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan bersama, menggalakkan pertukaran pengetahuan serta memperkukuh hubungan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa ke arah persekitaran digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.

 Semasa SICW 2026, NBD dan Republik Singapura turut mengadakan pertemuan dua hala di peringkat menteri bagi membincangkan peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan siber, khususnya perkongsian maklumat ancaman siber, penyelarasan tindak balas terhadap insiden siber, perlindungan CII serta keselamatan dan tadbir urus AI.

 Pertemuan berkenaan turut memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk bertukar pandangan mengenai keutamaan dasar masing-masing dan mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, termasuk pembangunan kapasiti dan pertukaran kepakaran, bagi meningkatkan daya tahan keselamatan siber NBD serta menyokong penyampaian perkhidmatan digital kerajaan yang selamat dan boleh dipercayai.

 Delegasi NBD ke SICW 2026 telah diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Cyber Security Brunei (CSB). 

Penyertaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan NBD untuk memperkukuh daya tahan keselamatan siber di peringkat kebangsaan dan kerjasama ASEAN ke arah persekitaran digital yang selamat, dipercayai dan inklusif.