Kerjasama ASEAN-PBB pacu keamanan, kemanusiaan, pembangunan mampan

17 Nov 2026 - 6:14am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Isnin, 16 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) Ke-16 bersama para Pemimpin ASEAN yang berlangsung di Philippine International Convention Center, Manila, Republik Filipina.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada Sidang Kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama António Guterres, atas pendirian teguh beliau dalam memperjuangkan keamanan, perlindungan kemanusiaan, dan pembangunan mampan di tengah-tengah krisis berterusan yang menguji peraturan antarabangsa, di samping menggariskan kepentingan kerjasama ASEAN-PBB dalam menegakkan Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa bagi memelihara kedaulatan negara-negara kecil dan menyelesaikan pertikaian secara aman.

Baginda turut menggesa PBB agar meneruskan usaha bagi memastikan pematuhan penuh terhadap gencatan senjata di Gaza, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan bagi Palestin.

Menyentuh keutamaan iklim dan pembangunan menjelang tahun 2030, baginda bertitah menekankan keperluan kerjasama ASEAN-PBB untuk memperkukuh daya tahan terhadap risiko iklim bagi melindungi kemajuan pembangunan yang telah dicapai, serta membina kapasiti Negara-Negara Anggota ASEAN bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Baginda dalam titiahnya turut mengetengahkan kepentingan bantuan teknikal dan latihan daripada agensi-agensi PBB yang berkaitan bagi membantu negara-negara mengaplikasikan penilaian risiko iklim dalam perancangan nasional dan kesiapsiagaan bencana, termasuk melalui kerjasama dengan Pusat Perubahan Iklim ASEAN.

Akhir sekali, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan Setiausaha Agung yang kukuh terhadap ASEAN, serta menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada beliau sempena berakhirnya tempoh perkhidmatannya dan menzahirkan harapan untuk bekerjasama dengan penggantinya.