Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Haji Othman
SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 18 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Tuan Yang Terutama John Lee, bertempat di Grand Hyatt Shenzhen.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong telah bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan baik antara kedua-dua belah pihak, serta menegaskan semula komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertukaran antara rakyat.
Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menikmati hubungan dua hala yang mesra, yang didukung oleh kerjasama ekonomi, perundangan, serta hubungan sesama rakyat yang kukuh.
Kedua-dua belah pihak terus memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, perkhidmatan kewangan dan penyelesaian pertikaian, sambil bekerjasama rapat dalam kerangka APEC bagi memajukan kesalinghubungan serantau dan kemakmuran bersama.