Kerjasama strategik perkukuh akses pemilikan rumah bagi rakyat

23 Okt 2026 - 7:35am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

JERUDONG, Khamis, 22 Oktober. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP), Kementerian Pembangunan, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh akses kepada pemilikan rumah serta meneroka peluang baharu untuk membantu lebih ramai rakyat di negara ini memiliki rumah sendiri.

Kerjasama strategik selama lima tahun berkenaan dimeterai bersempena dengan Majlis Pelancaran Pameran Rumah Impian Mampu Milik anjuran bersama BIBD dan JKP di Dewan 2, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Kerjasama berkenaan bertujuan untuk meneroka inisiatif baharu dan inovatif yang dapat menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai, di samping memenuhi keperluan perumahan yang sentiasa berubah serta menyokong individu dan keluarga pada pelbagai peringkat perjalanan pemilikan rumah mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penandatanganan berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, merangkap Pengerusi BIBD, serta Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Awang Junaidi bin Bahrum; dan Pemangku Pengarah JKP, Awang Alwi bin Haji Md. Yussof.

Penandatanganan disaksikan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; serta Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Chin Wei Keh.

Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam ucapannya berkata, penyediaan perumahan yang selesa, selamat, berkualiti dan mampu milik melalui Skim Perumahan Negara (SPN) kekal menjadi keutamaan berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara kesejahteraan rakyat yang telah memberi manfaat kepada puluhan ribu keluarga. 

Jelas Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan, setakat ini, sejumlah 31,145 unit rumah  telah siap dibina sejak SPN bermula dari 1984. Namun, dari tahun ke tahun, pemohon SPN sentiasa meningkat.

Bagi menangani peningkatan permohonan SPN dan menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 kata Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan lagi, strategi pembangunan kini diperkukuh melalui mengoptimakan ketersediaan tapak serta kepelbagaian kaedah penyediaan dan model pembiayaan. 

"Komitmen holistik (housing-for-our-people) yang diperkasakan menerusi sinergi strategik bersama institusi kewangan dan sektor swasta ini bertujuan memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara optima, demi mencapai sasaran 85 peratus kadar pemilikan rumah menjelang tahun 2035. 

"Kerjasama strategik ini menyaksikan pengenalan dua program baharu di bawah Rumah  Impian Mampu Milik, iaitu Program Pembiayaan Penjawat Awam dan Program Rumah Impian. 

"Inisiatif ini komited dalam memperluas pilihan pemilikan rumah yang lebih inklusif dan fleksibel buat pemohon SPN dengan pinjaman perbankan yang menarik, bersesuaian dengan kelayakan  serta kemampuan kewangan masing-masing," kata Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan lagi.

Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan seterusnya menjelaskan, Program Pembiayaan Penjawat Awam membolehkan kakitangan kerajaan memiliki rumah pilihan mereka yang ditawarkan secara pasaran terbuka, berstatus pegangan kekal atau pajakan. 

Manakala tambah Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan lagi, Program Rumah Impian pula  menawarkan perumahan mampu milik di atas tanah kerajaan dengan penyediaan infrastruktur bagi memastikan harga jualan yang lebih berpatutan untuk golongan sasaran. 

Bagi menjayakan kedua-dua program berkenaan, Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan berkata, BIBD bertindak sebagai penyedia kemudahan pembiayaan, manakala penglibatan pemaju tempatan bertujuan memacu industri pembinaan dan pada masa yang sama menyumbang kepada  pertumbuhan ekonomi negara.

Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan seterusnya menambah, Pameran Rumah Impian Mampu Milik bertujuan memperkenalkan kedua-dua program perumahan kepada orang ramai khususnya pemohon SPN melalui penerangan terperinci mengenai jenis rumah, reka bentuk rumah, syarat kelayakan dan kemudahan pembiayaan bagi membantu pemilihan rumah yang bersesuaian mengikut keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing. 

Selain itu, terang Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan lagi, pameran berkenaan menekankan kepentingan komitmen dan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi mewujudkan lebih banyak peluang perumahan yang mampu milik dan mampan untuk rakyat.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD berkata, kerjasama berkenaan menggabungkan kekuatan, kepakaran dan sumber kedua-dua organisasi yang membolehkan penyelesaian perumahan dan pembiayaan diselaraskan dengan lebih baik bagi memberikan manfaat lebih besar kepada orang ramai.

Beliau menjelaskan, kerjasama berkenaan turut mencerminkan Pendekatan Seluruh Negara (Whole of Nation Approach) yang menggalakkan agensi kerajaan, institusi kewangan dan pihak berkepentingan bekerjasama ke arah matlamat bersama dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial jangka panjang dan pembangunan negara demi manfaat generasi akan datang.

Bagi BIBD, kerjasama berkenaan memperkukuh komitmen bank untuk menyokong keutamaan negara melalui perkongsian strategik yang mewujudkan nilai jangka panjang kepada rakyat Negara Brunei Darussalam.

Kedua-dua organisasi berharap kerjasama berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakal pemilik rumah, meningkatkan kesejahteraan keluarga dan menyokong pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan.