Khatam Al-Quran raikan 15 murid Darjah VI SU Madewa

28 Og 2026 - 7:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

MADEWA, Khamis, 27 Ogos. - Majlis Khatam Al-Quran merupakan antara program tahunan yang signifikan di sekolah-sekolah ugama sebagai tanda penghargaan terhadap murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, celik Al-Quran dan berakhlak mulia.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Madewa mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 15 peserta khatam yang terdiri daripada sembilan lelaki dan enam perempuan berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan petang tadi.

Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Hajah Mu’izzah binti Kefli, yang turut memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awangku Muhd Rifaat bin Pengiran Haji Abdul Rahim Khariri.

Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh tetamu khas majlis, yang turut diiringi dengan Persembahan Dikir sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Haji Muhd Aliakbar bin Damong Haji Omarali.

Majlis tersebut turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga, di samping mencerminkan komitmen berterusan JPI, KHEU dalam memperkukuhkan pendidikan agama serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.