KHEU semarakkan Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi

25 Og 2026 - 9:10am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit

KIARONG, Isnin, 24 Ogos. - Selain untuk memeriahkan dan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Dikir Syarafil Anam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala, serta memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan agama Islam.

Sehubungan itu, bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara mengadakan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut mulai 1 Rabiulawal 1448 Hijrah yang lalu.

Berikutan itu, Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 12 Malam Berturut-turut diadakan malam tadi di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut Hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta jemaah masjid berkenaan.

Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.

Acara juga diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang, yang antara lain mengongsikan mengenai fadilat berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala, mendapat kebaikan serta diampunkan dosa.

Menurut beliau lagi, tiga perkara yang dapat menzahirkan kecintaan kita terhadap Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah dengan menghidupkan sunnah-sunnah Baginda, meneladani dan menjadikan Baginda sebagai ikon dalam kehidupan serta memperbanyakkan selawat kepada Baginda.

Sejurus itu acara dikir dimulakan dengan Dikir Assalamualaika yang dibawakan oleh warga Jabatan Pengajian Islam, KHEU diikuti dengan Dikir Khairuman oleh Kumpulan Dikir Pewaris Dikir Brunei.

Kumpulan Dikir Kampung Belimbing/Kampung Subok pula membawakan Dikir Bisyahrin, seterusnya Dikir Al-Hamdu dibawakan oleh Kumpulan Dikir Mantan Pegawai Kastam dan Eksais Diraja.

Manakala Dikir Badat dibawakan oleh Pasukan Dikir Persatuan PERANGKAP dan Dikir Asyraqal dibawakan oleh Pegawai Masjid Jame’ Asr; Hassanil Bolkiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU. Doa Dikir dibacakan oleh Pegawai Masjid, Jame’ Asr’ Hassanil Bolkiah, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Othman.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Pegawai Masjid, Jame’ Asr’ Hassanil Bolkiah, Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

Majlis seumpama ini diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.