KTK kumpul maklumat terkini mengenai tenaga kerja negara

19 Okt 2026 - 5:21am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 Oktober. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) sedang mengendalikan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2026 seluruh negara bermula pada 5 Oktober 2026 hingga 1 November 2026.

Tujuan KTK berkenaan diadakan adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja.

KTK 2026 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam.

JPES ingin memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih yang diliputi dalam kajian berkenaan bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak BND4,000.

Bagi memastikan keselamatan orang ramai, sila sahkan identiti pegawai kajian yang telah dilantik seperti berikut, iaitu mereka memakai pas kajian yang memaparkan logo JPES, gambar, nombor kad pengenalan dan nama pegawai kajian; mereka memakai vest rasmi yang memaparkan nama JPES; mereka mengemukakan surat lantikan rasmi yang mengesahkan mereka dilantik oleh JPES untuk melaksanakan kajian; mereka mengemukakan surat makluman rasmi dari JPES yang menerangkan tujuan kajian; dan mereka tidak akan meminta sebarang wang atau bayaran, kata laluan peribadi atau butiran akaun bank.

Untuk sebarang pertanyaan atau pengesahan pegawai kajian JPES, sila rujuk melalui telefon dan WhatsApp +673 7469844 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu, pukul 7.45  pagi hingga 4.30  petang) atau e-mel labourforce.survey@jpes.gov.bn atau laman sesawang www.deps.gov.bn.