Laungan Dikir Maulud terus imarahkan masjid

25 Og 2026 - 9:07am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

FOto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud 12 Malam Berturut-turut sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis berkenaan merupakan kemuncak pengimarahan masjid melalui amalan Dikir Maulud yang diadakan selama 12 malam berturut-turut sebagai tanda kecintaan dan penghormatan umat Islam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta para pengarah jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, para penasihat dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD serta para jemaah masjid.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dan alunan dikir daripada tiga kumpulan, iaitu Kumpulan Pendikir Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kumpulan Pendikir Al-Mukmin dan Kumpulan Pendikir Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.

Majlis dimulakan dengan Bacaan Doa Dikir yang dipimpin oleh Awang Razman bin Haji Ramlee.

Sementara itu, Doa Khas untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat diraja, negara dan rakyat Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.

Dikir Maulud yang diadakan selama 12 malam berturut-turut mencerminkan komitmen Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD dalam menyemarakkan pengimarahan masjid serta membudayakan amalan keagamaan dalam kalangan masyarakat.

Selain menjadi wadah memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, program berkenaan turut memberikan ruang kepada para jemaah untuk memperbanyakkan selawat dan zikir, di samping menghayati sirah serta akhlak mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD berharap pengisian sepanjang Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam akan terus menyemai dan memperkukuhkan rasa kasih serta kecintaan umat Islam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping meningkatkan penglibatan masyarakat dalam mengimarahkan masjid.

Majlis diakhiri dengan doa dan selawat sebagai tanda kesyukuran atas kelancaran pelaksanaan Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut.