Majlis Doa Selamat bagi kontinjen IDB VMAT 8/2026

10 Okt 2026 - 8:42am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BERAKAS, Jumaat, 9 Oktober. - Majlis Doa Selamat bagi pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang menyertai Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team 8/2026 (IDB VMAT 8/2026) di Mindanao, Republik Filipina, berlangsung di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut hadir Chargé d'Affaires, a.i., Kedutaan Besar Republik Filipina di Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Bernadette A. Mendoza; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Jawatankuasa Eksekutif ABDB; Pemangku Pengarah Jabatan Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Atase Pertahanan Kedutaan Besar Republik Filipina di NBD; serta pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan.

Ahli keluarga pegawai-pegawai yang ditugaskan menyertai IDB VMAT 8/2026 juga hadir pada majlis tersebut bagi sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka sepanjang menjalankan penugasan di Mindanao.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti laungan Asmaul Husna serta Selawat Tafrijiyyah.

Acara diteruskan dengan tazkirah bertajuk 'Gerak Langkah Diiringi Tawakal' yang disampaikan oleh Awang Mohammad Rifat Atiyah bin Haji Anwari dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT).

Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian cenderahati kepada kontinjen IDB VMAT 8/2026 yang diiringi laungan Dikir Marhaban, sebelum diteruskan dengan bacaan Doa Selamat.

Solat Sunat Hajat kemudian diimamkan oleh Imam Surau Ad-Difa', Awang Muhammad Habib 'Azizi bin Muhammad Ghazali, disusuli Solat Fardu Asar dan sesi bergambar ramai.

Kontinjen IDB VMAT 8/2026 yang terdiri daripada tiga orang pegawai ABDB dan diketuai oleh Komander Khairul Anwar bin Abdullah, TLDB, tersebut dijadualkan bertolak ke Mindanao, Republik Filipina, pada Sabtu, 10 Oktober 2026.