Majlis Khatam Al-Quran Muslimah Kuala Belait sempena Hari Puja Usia

18 Okt 2026 - 6:57am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan

BELAIT, Sabtu, 17 Oktober. - Dalam menyahut seruan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah Negara Zikir, di samping menyemarakkan budaya membaca dan mengamalkan ajaran Al-Quran serta memupuk kecintaan terhadap kitab suci tersebut, Majlis Khatam Al-Quran bagi Muslimah-muslimah Daerah Belait sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bagi Tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, diadakan pada pagi tadi di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait.

Majlis anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Bahagian Muslimah Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait itu merupakan tanda kesyukuran dan penghormatan sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Dayang Jamaiyah binti Haji Abdul Hamid, isteri Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, merangkap Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Seramai 301 peserta daripada 18 kumpulan yang mewakili pelbagai agensi dan kumpulan di Daerah Belait telah menyertai majlis berkenaan.

Antara pengisian majlis termasuklah bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah, bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan surah-surah Al-Quran, bacaan Takhtim dan Doa Khatam, Dikir Marhaban, bacaan Doa Selamat serta Doa Peliharakan Sultan dan NBD. Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada ketua-ketua kumpulan serta pengagihan bunga telur.

Program pembacaan Al-Quran sehingga khatam berkenaan telah dimulakan sejak Januari 2026, dengan niat agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah daripada pelbagai agensi dan kumpulan di Daerah Belait, di samping memupuk semangat kebersamaan melalui penghayatan dan amalan membaca Al-Quran.

Semoga penganjuran majlis seumpama ini mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping mendorong para peserta untuk terus membudayakan pembacaan Al-Quran, menghayati isi kandungannya serta bersama-sama memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah dan kegiatan keagamaan masyarakat.