Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Kampung Sungai Besar
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Besar dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar menzahirkan tanda kesyukuran dengan menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran sebagai pesambah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.
Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Besar berkenaan dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Awang Lawi bin Haji Lamat, selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok, selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri; Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram; dan Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit.
Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai masjid, Ahli-ahli MPK Sungai Besar, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, golongan Muslimah, belia dan beliawanis, serta para jemputan dan penduduk kampung.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim bermula daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar.
Majlis Khatam Al-Quran berkenaan mencerminkan usaha berterusan para jemaah dan penduduk Kampung Sungai Besar dalam mengimarahkan masjid, selain menyemarakkan amalan membaca dan menghayati Al-Quran.