Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
TUTONG, Ahad, 25 Oktober. - Program Legasi Belia (PLB) 'IbadurRahman ('IR) merupakan satu inisiatif pembangunan belia yang bertujuan membentuk barisan pelapis Belia dan Beliawanis Masjid Hassanal Bolkiah (MHB), Pekan Tutong yang berakhlak, berkemahiran, berdisiplin serta bersedia memikul amanah kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, satu Majlis Penghargaan telah diadakan di MHB, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Pada majlis itu, penyerahan sijil tamat peserta PLB disempurnakan oleh tetamu kehormat manakala sijil penghargaan kepada Mentor dan Co-Mentor PLB disempurnakan oleh Imam MHB, Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof.
Majlis berkenaan merupakan platform bagi penyerahan sijil tamat peserta PLB, sijil penghargaan kepada Mentor dan Co-Mentor, penyerahan surat / watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pelapis Belia MHB serta penyampaian Anugerah PLB.
Program ini turut memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dalam menyokong penglibatan anak-anak dalam aktiviti belia masjid.
Melalui slot kesedaran ibu bapa (Parental Awareness), ibu bapa akan diberikan kefahaman mengenai peranan strategik anak-anak sebagai AJK Pelapis Belia Masjid serta kepentingan sokongan dari segi pengurusan masa, dorongan dan kefahaman terhadap penglibatan mereka dalam aktiviti masjid.
Di samping itu, program ini turut menggalakkan para belia dan beliawanis untuk mencontohi serta mengikuti jejak kecemerlangan akademik dan pembangunan diri belia terdahulu yang telah berjaya dalam pengajian mereka, bermula dari peringkat menengah, institusi pengajian tinggi sehingga ke alam kerjaya.
Pendekatan ini diharapkan dapat membentuk kefahaman bahawa penglibatan aktif dalam khidmat belia masjid dapat berjalan seiring dengan kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah dan persediaan menuju alam kerjaya.
Antara lain objektif program berkenaan ialah untuk menghargai sumbangan dan penglibatan peserta sepanjang mengikuti PLB; di samping bagi meningkatkan kefahaman, sokongan dan dorongan daripada ibu bapa terhadap penglibatan anak-anak dalam khidmat belia masjid, khususnya dalam aspek pengurusan masa, pembangunan kerjaya serta kecemerlangan pembelajaran.
Antara pengisian utama Program Recognition Day adalah Tazkirah Pendek mengenai peranan belia, khidmat kepada masjid dan pembentukan generasi pelapis daripada penceramah undangan.
Adalah diharapkan agar Program Recognition Day ini dapat menjadi satu majlis yang bermakna dalam menghargai sumbangan dan penglibatan peserta PLB 'IR, di samping mengiktiraf peranan Mentor dan Co-Mentor serta memperkukuh hubungan antara belia, ibu bapa dan kepimpinan masjid.
Majlis ini juga diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada pembentukan barisan AJK Pelapis Belia MHB yang lebih tersusun, berdisiplin dan bersedia memikul amanah khidmat kepada ummah.