Majlis Penutup Dikir Maulud terus disemarakkan

27 Og 2026 - 6:37am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

SENGKURONG, Rabu, 26 Ogos. - Majlis Penutup Dikir Maulud menandakan berakhirnya acara Dikir Maulud bersempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung selama 12 malam berturut-turut.Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid (AJTM), Belia Syababul Iman dan Jama'ah Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong mengadakan Majlis Penutup Dikir, hari ini.

 Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas ‘B’.

Majlis bermula dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat I, Awang Haji Manan bin Haji Osman dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

 Majlis diteruskan dengan laungan Dikir Syarafil Anam beramai-ramai oleh rombongan dikir yang dijemput serta AJTM berkenaan.

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan daripada rombongan-rombongan dikir yang dijemput seterusnya Dikir Marhaban yang dibawakan beramai-ramai dan diakhiri dengan bacaan doa Dikir dan juga bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Tujuan acara penutup ini diadakan bagi menyemarakkan sambutan hari kebesaran Islam, di samping memupuk kecintaan serta penghayatan terhadap sirah, sunnah dan akhlak Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk ahli jawatankuasa dan masyarakat setempat.

Antara rombongan dikir yang dijemput bagi sama-sama menyemarakkan majlis ialah Kampulan Dikir Mantan Pegawai-pegawai JKED, Kumpulan Dikir Khairul Insan, Kumpulan Dikir Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong, Pasukan Dikir Jamaah Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Pasukan Muslimah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘A’, Pasukan Muslimah Dikir MPK Sengkurong ‘B’ dan Pasukan Dikir Muslimah MPK Tanjong Nangka, pegawai-pegawai hal ehwal masjid, Kumpulan Dikir Kampung Subok serta Kumpulan Dikir Warisan Kampung Burong Pingai.