Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
KILANAS, Khamis, 27 Ogos. - Masjid Kampung Kilanas terus bergema dengan alunan dikir apabila Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang juga memulakan majlis dengan mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar serta Penaung II masjid berkenaan, Dato Paduka Haji Mohd. Rosli bin Haji Sabtu.
Sejurus itu, Majlis Dikir Syarafil Anam diteruskan dengan Assalamualaika yang diketuai oleh imam masjid itu, Awang Muhd. Fahmie bin Haji Awang Metussin.
Lebih menarik pada kali ini, sebanyak 23 pasukan pendikir daripada pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, institusi pendidikan, masjid, persatuan dan pelbagai pihak telah mengambil bahagian dalam menyemarakkan lagi majlis pada tahun ini.
Majlis anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas itu merupakan kemuncak kepada pelaksanaan Dikir Maulidur Rasul yang diadakan selama 15 malam berturut-turut, bermula pada 13 Ogos hingga 27 Ogos 2026.
Penganjuran Dikir Maulud berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk memperingati dan menyemarakkan kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, malah turut mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Kilanas dan jemaah masjid di sekitarnya.
Sepanjang 15 malam pelaksanaannya, masjid berkenaan menyaksikan kehadiran para jemaah yang mengimarahkan rumah Allah dengan ibadah, bacaan Dikir Syarafil Anam serta pengisian tazkirah yang disampaikan sepanjang malam berlangsung.
Keberlangsungan majlis berkenaan turut memperlihatkan semangat gotong-royong dan kerjasama erat masyarakat dalam mengungkayahkan aktiviti keagamaan. Sokongan serta sumbangan orang ramai dalam bentuk sedekah, jamuan dan buah tangan sepanjang majlis turut menjadi antara pemangkin kepada kejayaannya.
Sambutan yang menggalakkan daripada jemaah dan penduduk Kampung Kilanas serta kawasan sekitar jelas memperlihatkan kesungguhan masyarakat untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dan menghidupkan syiar Islam.
Pada masa yang sama, kegiatan seumpama ini menyerlahkan peranan masjid bukan sekadar sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah dan penyebaran ilmu serta nilai-nilai keagamaan.
Bukan itu sahaja, penganjuran Dikir Maulud selama 15 malam itu juga selaras dengan tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tahun ini, 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah', yang mengajak masyarakat menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai contoh dan panduan dalam memperkukuh akidah serta menjalani kehidupan berlandaskan ajaran Islam.