Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Sabtu, 17 Oktober. - Bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong telah mengadakan Majlis Tahlil dan Ceramah Hari Kesihatan Mental Sedunia bagi Tahun 2026, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat I, Hospital PMMPMHAMB, Tutong, Dayang Hajah Siti Hasrainah binti Haji Mohd. Hassan.
Bertemakan 'Pengalaman Hidup di Dengar : Suara Sebenar, Perubahan Nyata', majlis tersebut diadakan bertujuan untuk mendengar pengalaman hidup dan mengubah perubahan yang nyata dalam bidang kesihatan mental.
Majlis pagi berkenaan terlebih dahulu dimulakan dengan Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Pengiran Haji Radiman bin Pengiran Haji Tengah.
Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan kemuncak acara iaitu Ceramah Khas yang disampaikan oleh Psikologi Klinikal, Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan yang menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Melangkaui Sekadar Mendengar Mengubah Pengalaman Hidup Menjadi Perubahan Nyata'.
Dalam Ceramah Khas tersebut, Dayang Nor Syahmun antara lain menekankan akan kepentingan mendengar yang harus ada pada setiap individu di samping memiliki sifat empati bagi sama-sama membantu meringankan tekanan yang dihadapi oleh seseorang yang mempunyai cabaran kehidupan atau kerja sehari-hari.
Turut hadir sama pada acara berkenaan ialah para pegawai serta kakitangan-kakitangan Hospital PMMPMHAMB, Tutong.