Oleh : Aimi SaniFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) membawa manfaat yang besar. Ia boleh membantu mencari, menyusun, menterjemah dan menganalisis maklumat dengan pantas.
Namun, AI juga boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan meyakinkan tetapi tidak tepat, mereka-reka sumber, menghasilkan audio atau visual palsu serta mempercepat penyebaran maklumat yang salah. Dalam perkara ugama, kesilapan seperti ini bukan kecil kerana ia boleh menyentuh akidah, hukum, ibadah dan keharmonian masyarakat.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan semasa menyampaikan ucapan perasmiannya pada Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa 3 (SAKAPES 3) bertempat di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.
Terdahulu, Yang Berhormat menyatakan tema ‘Integrasi Nilai Ahli Sunnah Waljamaah di Era AI’ amat bertepatan dengan keperluan semasa.
“Persoalan utama kita bukan lagi sama ada teknologi ini akan digunakan kerana ia sudah berada dalam pendidikan, penyelidikan, pentadbiran dan kehidupan harian. Persoalannya ialah : Atas landasan apakah teknologi ini harus digunakan dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap hasilnya?” ujar Yang Berhormat.
Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) terang Yang Berhormat, landasan itu jelas, Article 3(1) Perlembagaan NBD menetapkan Islam sebagai ugama rasmi negara, manakala Article 2(1) mentakrifkan Ugama Islam sebagai ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah mengikut Mazhab Syafii. Oleh itu, Ahli Sunnah Waljamaah bukan sekadar bidang perbahasan akademik, bahkan asas yang menuntun pendidikan, dakwah dan pentadbiran agama di negara ini.
Kedudukan ini, terang Yang Berhormat lagi, diperteguhkan lagi melalui titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Antaranya titah baginda sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448 Peringkat Negara pada 4 Julai 2026. Baginda berharap supaya semangat Ilal Hijrah benar-benar dihayati bagi ‘memperkukuh akidah Ahli Sunnah Waljamaah melalui pembangunan modal insan seimbang’. Titah ini memberikan arah yang nyata, bahawa kemajuan ilmu dan teknologi mesti bergerak bersama keteguhan aqidah dan kemuliaan akhlak.
Lebih mutakhir, dalam Titah Perutusan baginda sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi pada 24 Ogos 2026, baginda mengingatkan supaya kita ‘tidak mudah menerima segala pendapat daripada sumber digital yang tidak diketahui kesahihannya, melainkan perlu dirujuk kepada institusi ugama berautoriti’. Peringatan ini amat bertepatan dengan fokus seminar ini.
“Justeru, yang kita perlukan bukan penolakan terhadap AI dan bukan juga penerimaan tanpa batas. Yang kita perlukan ialah pemanfaatan yang dipandu oleh akidah, syarak dan akhlak. Setiap kandungan ugama yang dihasilkan atau dibantu oleh AI hendaklah dinilai berdasarkan tiga ukuran : sahih sumbernya, betul kefahamannya dan baik kesannya,” ujar Yang Berhormat lagi.
Kongsi Yang Berhormat, pertama, sahih sumbernya. AI bukan sumber berautoriti dan jawapannya tidak boleh dianggap sebagai fatwa, Irsyad Hukum atau keputusan muktamad. Rujukan asal mesti dijejaki, nas mesti diperiksa dan kenyataan mesti disahkan dengan kitab-kitab muktabar serta pihak berautoriti. Kepantasan mendapatkan jawapan tidak boleh menggantikan ketelitian mencari kebenaran.
Kedua, tambah Yang Berhormat, betul kefahamannya. Teks yang sahih sekalipun boleh disalah fahami apabila dipetik tanpa mengambil kira konteksnya, ditafsir tanpa berpandukan kaedah ilmu dan diterima tanpa bimbingan ulama. Dalam urusan akidah dan syariah, autoriti ilmu hendaklah kekal pada para ulama, ilmuwan dan institusi ugama yang berkelayakan. AI boleh membantu kerja ilmiah tetapi tidak boleh mengambil tempat disiplin ilmu, adab berguru dan pertanggungjawaban manusia.
Ketiga, jelas Yang Berhormat, baik kesannya. Kandungan yang tepat dari segi maklumat belum tentu wajar disebarkan jika ia membuka aib, melanggar privasi, menimbulkan fitnah atau memecahbelahkan masyarakat. Nilai amanah, keadilan, ihsan dan maslahat hendaklah hadir sejak data dipilih dan pertanyaan dirangka, sehinggalah jawapan dinilai dan kandungan disebarkan.
Prinsip ini menepati tuntutan ‘tabayyun’ (iaitu menyelidik, menyemak dan memastikan kebenaran sesuatu maklumat sebelum menerimanya atau menyebarkannya) ujar Yang Berhormat.
“Semangat ‘tabayyun’ ini mesti diperluas kepada setiap hasil AI. Jangan disebarkan hanya kerana bahasanya kemas. Jangan diterima hanya kerana jawapannya pantas. Semak siapa sumbernya, apa dalilnya, bagaimana konteksnya dan apakah akibat menyebarkannya,” tambah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menambah, negara kita melalui Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Kumpulan Kerja Tadbir Urus dan Etika AI, telah menyediakan ‘Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI untuk Brunei Darussalam’ (Guide on AI Governance and Ethics for Brunei Darussalam).
Garis panduan ini kongsi Yang Berhormat, antaranya menggariskan tujuh prinsip utama bagi penggunaan AI yang bertanggungjawab iaitu Ketelusan dan Kebolehjelasan; Perlindungan dan Tadbir Urus data; Keselamatan dan Ketenteraman; Ketahanan dan Kebolehpercayaan; Keadilan dan Kesaksamaan; Berpusatkan Manusia dan Kebertanggungjawaban dan Integriti.
“Panduan yang disediakan dalam garis panduan ini dihasratkan sebagai amalan dan perlindungan yang perlu dipraktikkan oleh organisasi yang membentuk, membangunkan, menggunakan dan memanfaatkan teknologi AI di NBD.
“Panduan tersebut bersifat umum dan merentas sektor. Maka seminar ini berpeluang menambah dimensi yang khusus bagi pengajian dan penyampaian agama. Iaitu bagaimana prinsip tadbir urus tersebut diperkukuh berdasarkan tuntutan akidah, syarak, akhlak dan kesahihan sumber menurut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah,” ujar Yang Berhormat.
KUPU SB tegas Yang Berhormat, turut memikul peranan yang penting. Ini kerana jika diamati seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Titah Perutusan sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada 24 Ogos 2026 yang lalu, baginda ada bertitah “Beta juga menyeru ibu bapa, guru-guru serta seluruh institusi pendidikan memainkan peranan aktif dalam membimbing dan mengukuhkan akidah generasi muda”. Maka petikan titah ini turut memperjelas lagi tanggungjawab KUPU SB sebagai institusi yang melahirkan pendidikan agama.
Peranan aktif itu, tambah Yang Berhormat, bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan membimbing generasi muda berpandukan akidah Ahli Sunnah Waljamaah, membetulkan kekeliruan serta membiasakan mereka merujuk persoalan agama kepada sumber dan institusi yang berautoriti.
Dalam konteks AI, para pensyarah dan bakal guru perlu dilengkapkan bukan sahaja dengan kemahiran menggunakan teknologi dan menilai keterbatasannya, tetapi juga dengan keupayaan membimbing pelajar menggunakannya secara beradab, amanah dan bertanggungjawab.
Yang Berhormat dalam pada itu, turut melahirkan harapan agar seminar ini tidak berakhir sebagai himpunan kertas kerja semata-mata.
Yang Berhormat mencadangkan KUPU SB supaya mempertimbangkan kesesuaian bagi menggerakkan usaha bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama dan agensi-agensi berkaitan untuk menilai dan meneliti tiga tindakan utama iaitu garis panduan penggunaan AI menyediakan panduan penggunaan AI dalam pengajian, penyelidikan, pengajaran dan penyampaian utama, termasuk tatacara semakan sumber dan tanggungjawab pengguna.
Sementara itu, jelas Yang Berhormat pusat rujukan digital rasmi pula, menghimpunkan sumber digital tempatan yang berautoriti mengenai akidah Ahli Sunnah Waljamaah, Mazhab Syafii, fatwa, irsyad dan bahan pendidikan ugama yang diterbitkan dan yang telah disahkan lulus untuk memudahkan rujukan yang tepat.
Manakala Literasi AI berterusan, tambah Yang Berhormat membangunkan latihan untuk pensyarah, mahasiswa, guru ugama dan bahkan pendakwah dan pegawai masjid yang meliputi penggunaan beretika, pengesahan maklumat, perlindungan data dan keselamatan digital.
Yang Berhormat seterusnya menyeru untuk memastikan AI menjadi alat yang membantu ilmu dan dakwah. Bukan alat yang mengelirukan manusia daripada kebenaran.
Semoga usaha ini melahirkan generasi yang cekap memanfaatkan teknologi, teguh akidahnya, luhur akhlaknya dan amanah terhadap ilmu, generasi yang menyumbang kepada kemajuan negara tanpa kehilangan jati diri Islam.