Memastikan fakta sejarah terus terpelihara untuk generasi akan datang

26 Jul 2026 - 7:03am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai. - Arkib Negara Brunei Darussalam (NBD) menganjurkan Program Pembarigaan Mengenai Peranan dan Akta Arkib NBD sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 yang disambut setiap tahun pada 9 Jun, hari ini.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan rekod dan arkib dalam sesebuah negara. Program tersebut telah diadakan di Dewan Teater Dewan Teater PM Dato Sharifuddin, Bangunan Arkib NBD.

Sambutan Hari Arkib Antarabangsa pada tahun ini bertemakan ‘Arkib Untuk Keadilan : Hak, Memori dan Masa Hadapan’. Tema tersebut menekankan bahawa arkib memainkan peranan penting dalam menyokong keadilan perlindungan hak dan akauntabiliti melalui pemeliharaan serta akses kepada rekod.

Arkib bukan sahaja menjadi bukti sejarah tetapi juga menyokong proses kebenaran, dialog dan pemulihan dalam pelbagai konteks.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus juga selaku Pengarah Arkib NBD.

Terdahulu, Ketua Pegawai Arkib, Jabatan Muzium-Muzium, Dayang Aminah binti Haji Majid, selaku Timbalan Pengerusi Majlis Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 dalam ucapannya menyatakan bahawa tema sambutan pada tahun ini membawa mesej yang amat signifikan bahawa arkib bukan sekadar tempat penyimpanan dokumen lama, bahkan merupakan sumber bukti, menyokong akauntabiliti, memperkukuh tadbir urus serta memastikan fakta sejarah terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Menurut beliau, program pembarigaan pada hari ini merupakan antara inisiatif Arkib NBD untuk meningkatkan kefahaman mengenai fungsi dan peranan arkib negara, di samping memperkenalkan tanggungjawab kementerian dan jabatan di bawah Akta Arkib NBD.

Dayang Aminah seterusnya melahirkan harapan agar program ini bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan para peserta, malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya pengurusan rekod yang lebih cekap, tersusun dan mematuhi kehendak perundangan di semua kementerian dan jabatan kerajaan.

Sesi taklimat telah diadakan dalam dua sesi yang dikendalikan oleh tiga orang ahli panel. Sesi taklimat pertama bertajuk ‘Peranan Arkib NBD’ telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Arkib, Jabatan Muzium-Muzium, Dayang Aminah.

Manakala sesi taklimat kedua bertajuk ‘Taklimat Akta Arkib NBD’ telah disampaikan oleh Timbalan Penasihat Undang-Undang Kanan, Dayang Hajah Norismahfazidah binti Haji Ismail, bersama Penasihat Undang-Undang, Dayang Kamilah binti Awang Mohamed.

Taklimat menyentuh mengenai tanggungjawab pejabat kerajaan, pematuhan terhadap pengurusan rekod kerajaan dan aspek perundangan berkaitan dengan pelupusan, pemindahan serta pemusnahan rekod-rekod awam.

Program ini diharap dapat meningkatkan kefahaman warga perkhidmatan awam mengenai peranan Arkib NBD serta memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan Akta Arkib NBD dalam pengurusan rekod kerajaan.

Bersempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026, beberapa aktiviti turut akan diadakan selama seminggu bermula 27 Julai 2026 sehingga 1 Ogos 2026 di Dewan Akses dan kawasan lobi, Bangunan Arkib NBD.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Mini Pameran Arkib NBD, Klinik Khidmat Nasihat serta Promositi Fasiliti dan Perkhidmatan Arkib NBD.