Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 yang telah dikemas kini menyediakan rujukan strategik bersama untuk memperkukuh penyelarasan.
Kerangka ini kata Yang Berhormat, menghubungkan tiga matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan lapan keutamaan negara, 13 Hasil Pencapaian Kebangsaan dan 42 Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan.
Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut dalam Usul Penangguhan pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dengan pensejajaran ini kata Yang Berhormat, kemajuan wawasan dapat dilihat pada tahap hasil negara sementara kementerian dan agensi terus menerajui dasar, strategi, program dan tindakan yang di bawah tanggungjawab masing-masing. Kerangka tersebut juga menekankan pendekatan berasaskan hasil.
Di samping itu tambah Yang Berhormat, kemajuan perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan atau aktiviti yang diselesaikan tetapi sejauh mana usaha tersebut menyumbang kepada hasil-hasil pencapaian kebangsaan dan memberi impak kepada rakyat serta negara.
Pemantauan KPI Kebangsaan dan indeks Wawasan Brunei 2035 jelas Yang Berhormat, akan menjadi antara rujukan untuk menilai kedudukan kemajuan secara lebih konsisten dan berasaskan bukti. Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint pula memperincikan hala tuju setiap matlamat wawasan melalui tindakan yang lebih khusus.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, hubungan yang lebih kukuh antara hala tuju negara, dasar dan pelaksanaan di peringkat kementerian serta agensi akan membantu memastikan sumber dan usaha ditumpukan kepada perkara yang memberi nilai dan impak terbesar kepada negara.
Bagi rakyat dan penduduk jelas Yang Berhormat, makna penyelarasan ini perlu mudah difahami. Ia boleh difahamkan sebagai urusan yang lebih lancar, dasar yang lebih konsisten, tindakan kerajaan yang lebih terarah, peluang yang lebih luas untuk menyumbang dan maju serta hasil pembangunan yang dapat dirasakan dalam kehidupan seharian.
"Inilah yang memberi makna kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035, bukan sahaja dilihat daripada kemajuan negara dalam mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi mengenai kualiti kehidupan yang terus dinikmati dan masa depan yang kita bina untuk generasi seterusnya berlandaskan nilai dan prinsip Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara.
"Oleh itu, komunikasi mengenai kemajuan juga penting. Rakyat dan penduduk perlu mengetahui bukan sahaja apa yang dirancang, tetapi apa yang telah dilaksanakan, apakah kemajuan yang dicapai dan di mana usaha masih perlu diperkukuh.
"Maklumat tepat, konsisten dan mudah difahami akan membantu membina kefahaman, keyakinan rasa pemilikan bersama terhadap perjalanan Wawasan Brunei 2035 dan cabaran-cabaran dihadapi atau dilalui," jelas Yang Berhormat lagi.
Apa yang jelas daripada perbahasan di dewan yang mulia ini, Yang Berhormat berpendapat, iaitu pertama, keperluan untuk bergerak daripada perancangan kepada pelaksanaan dan hasil; kedua, memperkukuh penyelarasan bagi keutamaan yang merentas kementerian; ketiga, menilai kemajuan berdasarkan impak sebenar; keempat, memperluas kerjasama seluruh negara; dan kelima, memastikan kemajuan dibarigakan dengan teratur dan bertanggungjawab.
"Ini bukan perubahan kepada matlamat wawasan tetapi pengukuhan cara kita bergerak bersama untuk mencapainya," ujar Yang Berhormat lagi.