Oleh : Aimi SaniFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah dan Fakulti Usuluddin menganjurkan Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa 3 (SAKAPES 3) selama dua hari, pada 26 dan 27 Ogos 2026.
Sehubungan itu, hadir bagi merasmikan SAKAPES 3 yang berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis perasmian turut diisikan dengan pembentangan kertas utama bertajuk ‘Manhaj Ahli Sunnah Waljamaah Dalam Menghadapi Era Digital’ yang disampaikan oleh Ketua Umum Pengurus Besar Darud Da’wah wa’ Irsyad dan Ahli Majelis Ulama Indonesia, Sulawesi Selatan Indonesia, Profesor Dr. AGH. Syamsul Bahri Andi Galigo.
Dalam pembentangannya, Profesor Dr. AGH. Syamsul Bahri Andi Galigo antara lain menyentuh mengenai media digital dan Kecerdasan Buatan (AI) membuka peluang besar untuk memperluas akses pembelajaran, meningkatkan kecekapan pendidikan Islam, memperkukuh dakwah dan mengembangkan literasi keislaman generasi digital.
Beliau seterusnya menjelaskan, prinsip Maqasid Syariah dapat memastikan media digital dan AI digunakan untuk kemaslahatan umat, pemeliharaan martabat manusia dan keseimbangan antara kecerdasan intelektual dengan spiritual.
Bertemakan ‘Integrasi Nilai Ahli Sunnah Waljamaah di Era AI’, SAKAPES 3 telah menarik minat lebih 35 pembentang dan 300 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pegawai dan kakitangan kerajaan, mahasiswa mahasiswi dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi mahupun prauniversiti, Pertubuhan Bukan Kerajaan, pihak swasta dan orang awam.
SAKAPES 3 antara lain bertujuan untuk memperkukuh kefahaman ilmiah manhaj Ahli Sunnah Waljamaah di samping menggalakkan penggunaan AI secara berhemah dalam pengajaran dan pembelajaran pengajian Islam. Seminar ini juga sangat relevan dengan risalah KUPU SB sebagai peneraju dalam bidang perguruan ugama dan pendidikan Islam.
Hal ini selaras dengan objektif Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, KUPU SB untuk menjadi pusat kajian dan penyelidikan ilmiah yang unggul berhubung kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, demi memenuhi keperluan masyarakat, negara dan ummah secara keseluruhannya.
Turut hadir, pegawai dan kakitangan kerajaan serta para pembentang dan peserta seminar.