Memperkukuh integriti, akauntabiliti, ketelusan, profesionalisme Ahli MMN

11 Og 2026 - 10:01am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan permesyuaratan ini turut menandakan satu langkah penting melalui penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN).

"Alhamdulillah, Dewan yang mulia ini telah meluluskan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN berserta pindaan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin iaitu bagi merujuk draf tersebut kepada satu Jawatankuasa Khas untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih mendalam dalam tempoh enam bulan", jelas Yang Berhormat pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya berkata, pengemukaan dan penerimaan pindaan ini merupakan satu petanda jelas kematangan proses perundangan di MMN memandangkan pindaan sebegini belum pernah dikemukakan sebelum ini dalam sejarah dewan berkenaan.

Perbahasan mengenai usul ini kata Yang Berhormat, turut menyaksikan sokongan yang meluas daripada Ahli-ahli Yang Berhormat sejajar dengan pengiktirafan bersama akan cabaran-cabaran unik yang dihadapi oleh sebuah negara yang bilangan penduduknya kecil seperti Negara Brunei Darussalam (NBD) khususnya, dalam menguruskan isu konflik kepentingan dalam kalangan masyarakat yang erat dan saling berkait rapat.

Pindaan yang dikemukakan dan diterima pakai ini jelas Yang Berhormat, adalah cerminan jelas kebijaksanaan dewan yang mulia ini dalam mengambil kira serta menyeimbangkan segala kebimbangan dan pandangan yang telah dikemukakan di sepanjang perbahasan. Kematangan proses perundangan seperti inilah yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita bersama kerana ia menzahirkan bahawa badan MMN kian melangkah ke arah menjadi sebuah World Class Parliament seperti yang telah disuarakan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat sebelum ini.

"Saya percaya bahawa Kod Etika ini akan menjadi panduan dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme Ahli-ahli MMN. Keyakinan orang ramai terhadap dewan mulia ini bergantung bukan sahaja kepada kualiti perbahasan tetapi juga kepada tatakelakuan, amanah dan kewibawaan ahli-ahlinya.

"Dengan adanya kod ini, adalah menjadi satu tanggungjawab bersama ahli-ahli untuk memelihara kemuliaan Dewan Majlis, mengurus konflik kepentingan, melindungi maklumat sulit dan memastikan setiap kemudahan serta keistimewaan digunakan bagi melaksanakan amanah kepada negara dan rakyat ke arah menjadikan NBD sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur," kata Yang Berhormat.

Sehubungan itu, Yang Berhormat turut menaruh harapan agar Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan untuk meneliti dan memperhalusi Draf Kod Etika ini akan dapat menyempurnakan tugasnya dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan supaya Kod Etika dan Tatakelakuan ini dapat dimuktamadkan dan diterima pakai bagi menjunjung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sebagai penutup jelas Yang Berhormat lagi, apa yang telah dibincangkan dalam dewan yang mulia ini dan pemerhatian bersama tidak seharusnya berakhir apabila persidangan ditangguhkan. Nilai sebenar perbahasan terletak pada apa yang berlaku selepasnya, iaitu penelitian yang dibuat, keputusan yang diambil, tindakan yang dilaksanakan dan hasil yang dapat dilihat serta dirasakan.

Dalam tempoh menuju 2035, kata Yang Berhormat, masa menjadi semakin bernilai. Dari itu, setiap dasar perlu mempunyai arah yang jelas. Setiap tindakan perlu menyumbang kepada hasil dan setiap pihak perlu memahami peranannya. Apa yang dirancang perlu dilaksanakan dan apa yang dilaksanakan hendaklah membawa kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran kepada negara.

"Wawasan Brunei 2035 adalah wadah pemerintah negara, amanah generasi dan warisan masa depan dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta komitmen kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat dan penduduk. InsyaaAllah gerak langkah negara menuju Wawasan Brunei 2035 akan terus diperkukuh dengan penuh tawakal, keyakinan, kesatuan dan tanggungjawab bersama.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa mengurniakan petunjuk, kekuatan dan keberkatan dalam setiap usaha kita. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam akan sentiasa dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang sempurna, keafiatan yang berpanjangan serta sentiasa dalam lindungan, taufik dan hidayah-Nya, kekal karar memerintah negara di atas singgahsana.

"Didoakan juga semoga NBD sentiasa berada di bawah lindungan-Nya, kekal aman, makmur, berdaulat dan sejahtera, sebagai sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur yakni negara yang baik dengan Rabb yang Maha Pengampun. Amin, Allahumma Amin," ujar Yang Berhormat lagi.

Sehubungan itu, Usul Penangguhan juga telah disokong oleh Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.