Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menganjurkan Majlis Resepsi bagi mengalu-alukan kumpulan terbaharu penerima Program Canada-ASEAN Scholarships and Educational Exchanges for Development (SEED - 2) bagi Sesi Akademik 2026 - 2027, di samping mengeratkan kembali hubungan dengan Komuniti Alumni Kanada - NBD yang semakin berkembang.
Majlis Resepsi tersebut telah menghimpunkan kira-kira 50 orang, termasuk penerima biasiswa SEED, alumni dan rakan-rakan Kanada. Malah majlis ini menjadi wadah untuk meraikan pertukaran pendidikan, memperkukuh jaringan profesional dan akademik serta mengeratkan hubungan antara rakyat NBD dan Kanada yang telah terjalin sekian lama.
Pada tahun ini, tujuh pelajar dari universiti-universiti di NBD telah dianugerahkan biasiswa berkenaan bagi Sesi Akademik 2026 - 2027.
Penerima pada tahun ini ialah Dayang Nur Fa'izah binti Haji Ibrahim, Natalie Jia Xin Goh, Lee Huan Zhi, Awang Muhammad Bazli Taib Mahmud, Pengiran Nur Ameerah Barizah binti Pengiran Amir Faisal dan Awang Muhammad Nadzre Adzremeen Amir dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) serta Dayang Nur Ifwah binti Ariffin dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Para penerima biasiswa dijangka mengikuti Program Pertukaran Akademik di Lakehead University, University of Alberta, Memorial University of Newfoundland dan Kwantlen Polytechnic University, dengan pengajian dan penyelidikan dalam bidang termasuk kewangan, kejuruteraan mekanikal, matematik gunaan, ekonomi dan keselamatan makanan. Penyertaan mereka akan menyumbang kepada pertukaran ilmu serta terus memperkukuh kerjasama akademik antara NBD dan Kanada. Sejak NBD menyertai program ini pada tahun 2022, seramai 36 pelajar dari universiti-universiti tempatan telah mendapat manfaat daripada program biasiswa tersebut.
Pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak penting dalam perkongsian yang semakin kukuh antara NBD dan Kanada, di samping memupuk kerjasama akademik yang berterusan serta hubungan bermakna antara rakyat kedua-dua buah negara.
Dalam ucapan Pesuruhjaya Tinggi Kanada di NBD, Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy menjelaskan bahawa kekuatan hubungan antara NBD dan Kanada terletak pada hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.
Melalui pengalaman mereka di Kanada tambah Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy, para penerima biasiswa dan alumni SEED menjadi duta persahabatan yang membawa pulang perspektif baharu, membina jambatan profesional dan kebudayaan serta mewujudkan jaringan yang merentasi sempadan.
"Kami berbesar hati mengalu-alukan para penerima biasiswa tahun ini dan meraikan komuniti alumni kami, yang pengalamannya terus memperkayakan hubungan antara rakyat Kanada dan NBD yang telah terjalin sekian lama," ujar TYT Dr. Tamer Mansy lagi.
Majlis Resepsi yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Kanada di NBD itu, turut meraikan pencapaian para alumni, yang kebanyakannya telah kembali selepas menjalani pertukaran akademik dan berada di Kanada, dan terus menyumbang kepada institusi serta komuniti masing-masing.
Pengalaman mereka telah membantu memperdalam kefahaman antara NBD dan Kanada, di samping memperluas hubungan profesional, akademik dan kebudayaan yang terus berkekalan selepas tamat tempoh pengajian.
Dalam pada itu, Program SEED-2 dibiayai oleh Kerajaan Kanada melalui Global Affairs Canada sebagai sebahagian daripada Canada's Indo-Pacific Strategy. Program ini menyediakan peluang kepada pelajar dari Negara-Negara Anggota ASEAN, negara-negara kepulauan Pasifik dan Mongolia untuk mengikuti pengajian atau menjalankan penyelidikan jangka pendek di institusi pendidikan pasca-menengah di Kanada.
Melalui kerjasama akademik dan mobiliti pelajar, Program SEED-2 menyokong usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampaan, di samping memperkukuh kerjasama pendidikan serta hubungan antara rakyat Kanada dengan rakyat di rantau ASEAN.