Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
DOHA, QATAR, Isnin, 9 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar susulan kunjungan hormat kepada His Highness Amir Negara Qatar, hari ini.
Perbincangan semasa Majlis Perjumpaan tersebut tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pelaburan.
Perjumpaan yang diadakan di Amiri Diwan itu mengetengahkan hubungan serta kerjasama dua hala yang semakin berkembang antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Negara Qatar.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah juga mengambil kesempatan untuk memuji Negara Qatar atas peranannya yang penting dan berkesan sebagai orang tengah dalam geopolitik serantau dan antarabangsa serta mengiktiraf sumbangan besar negara tersebut terhadap keamanan dan kestabilan global.
Dalam hubungan ini, perbincangan termasuk potensi kerjasama untuk berganding bahu dalam penyaluran bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Sebagai penutup kepada perjumpaan-perjumpaan diplomatik ini, His Highness Timbalan Amir Negara Qatar telah meraikan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dalam satu Majlis Santap Tengah Hari sempena Lawatan Rasmi Duli Yang Teramat Mulia ke Negara Qatar.
Majlis-majlis yang berlangsung ini mencerminkan layanan mesra serta ikatan persahabatan yang mendalam antara kedua-dua buah negara. Lawatan Rasmi ini merupakan satu mercu tanda bersejarah yang menandakan genap 35 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara NBD dan Negara Qatar.