Memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan Perkhidmatan Awam

9 Og 2026 - 6:41am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri

SIEM REAP, KEMBOJA, Sabtu, 8 Ogos. - Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai sesi permesyuaratan 23rd ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (23rd ACCSM), 8th ASEAN Plus Three Cooperation on Civil Service Matters (8th ACCSM+3) serta Forum on Good Governance yang berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos 2026 di Siem Reap, Kemboja.

Bertemakan 'Innovation for Better Service Delivery', sesi permesyuaratan tersebut menghimpunkan Ketua-ketua Perkhidmatan Awam, pegawai-pegawai kanan, wakil-wakil Negara Anggota ASEAN, Negara Campur Tiga serta Sekretariat ASEAN bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan Perkhidmatan Awam yang berdaya tahan, inovatif dan berpandangan jauh.

Sesi permesyuaratan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (Senior Officials' Meeting - SOM) bagi 23rd ACCSM dan 8th ACCSM+3 yang membincangkan pelaksanaan Pelan Kerja ACCSM dan ACCSM+3 bagi tempoh 2021-2025, penggubalan Pelan Kerja baharu bagi tempoh 2026 2030, perkembangan ASEAN Network of Public Service Training Institutes (PSTIs) serta persiapan bagi Mesyuarat Ketua-ketua Perkhidmatan Awam.

Pada hari kedua, Forum on Good Governance bertemakan 'Innovation for Better Public Service Delivery' telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perkhidmatan Awam, Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Many.

Forum tersebut menjadi platform perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang inovasi penyampaian Perkhidmatan Awam, transformasi digital sektor awam, pembangunan kapasiti serta pendekatan inovatif dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.

Mewakili NBD, Penganalisa Sistem, Kementerian Kesihatan, Awang Mohammad Eswady bin Brahim / Ibrahim telah membentangkan kertas negara bertajuk 'BruHealth : Transforming Public Healthcare Through Digital Innovation', yang mengetengahkan cabaran, pengajaran yang diperoleh (lessons learned), faktor kejayaan serta hala tuju pembangunan berterusan BruHealth sebagai platform digital kesihatan nasional yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara lebih bersepadu, mudah diakses dan berorientasikan rakyat.

Sebelum menghadiri Majlis Pembukaan Mesyuarat Ketua-ketua Perkhidmatan Awam, para ketua delegasi berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet, yang turut mengalu-alukan kehadiran para delegasi ke sesi-sesi permesyuaratan berkenaan.

Kemuncak sesi permesyuaratan ialah Mesyuarat Ketua-ketua Perkhidmatan Awam bagi 23rd ACCSM dan 8th ACCSM+3 yang dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Hun Many serta turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr. Kao Kim Hourn.

Mesyuarat mengesahkan Pelan Kerja ACCSM dan ACCSM+3 bagi tempoh 2026-2030 sebagai panduan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerjasama serantau dalam memperkukuh urus tadbir, pembangunan modal insan, transformasi digital, inovasi serta penyampaian Perkhidmatan Awam yang cekap, inklusif dan responsif.

Mesyuarat turut mengesahkan dokumen-dokumen hasil di bawah ACCSM, termasuk ASEAN Statement on Promoting Innovation for Better Public Service Delivery yang diterajui oleh Kemboja.

Mesyuarat turut menyaksikan penyerahan Kepengerusian ACCSM daripada Kemboja kepada Republik Indonesia selaku Pengerusi ACCSM Ke-24 bagi tempoh 2026-2028, serta mengambil maklum penyerahan Convenorship of the ASEAN Network of Public Service Training Institutes (PSTIs) daripada NBD kepada Kemboja bagi tempoh 2027-2028.

Sepanjang sesi permesyuaratan, NBD turut mengongsikan kemajuan pelaksanaan program dan inisiatif yang diterajui negara di bawah Pelan Kerja ACCSM dan ACCSM+3 antaranya pengendalian Workshop on Developing Framework for Measuring Productivity in Public Sector pada 27 hingga 29 April 2026, di Bandar Seri Begawan.

NBD turut menzahirkan komitmen berterusan negara dalam memacu inovasi, memperkukuh pembangunan kapasiti serta menggalakkan perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik demi memperkukuh kerjasama serantau ke arah pembangunan perkhidmatan awam ASEAN yang lebih progresif dan berdaya tahan.

Sesi permesyuaratan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Kerajaan Kemboja bagi meraikan semua delegasi yang hadir.

Hadir mengetuai delegasi NBD ke sesi-sesi permesyuaratan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Mohd. Fadly Harfinie bin Pengiran Haji Mohd. Kassim, yang turut disertai oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan Jabatan Perdana Menteri.

ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) merupakan badan sektoral di bawah ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) yang berperanan memperkukuh kerjasama dalam pembangunan Perkhidmatan Awam melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik, pembangunan kapasiti serta pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyampaian Perkhidmatan Awam dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

NBD telah menjadi Ahli ACCSM sejak tahun 1984 dan terus menyertai pelbagai inisiatif di bawah Pelan Kerja ACCSM sebagai sebahagian daripada komitmennya memperkukuh pembangunan Perkhidmatan Awam di peringkat serantau.