Siaran Akhbar dan Foto : Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam
BANGKOK, THAILAND, Jumaat, 24 Julai. - Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon bersama delegasi hakim-hakim dan pegawai kehakiman dari Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menghadiri Mesyuarat Majlis Ketua-ketua Hakim ASEAN (Council of ASEAN Chief Justices - CACJ) Ke-13 yang berlangsung pada 21 hingga 23 Julai 2026 atas jemputan President of the Supreme Court of the Kingdom of Thailand, The Honourable Adisak Tantiwong.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh ketua-ketua hakim dan ketua-ketua delegasi dari Negara-negara Anggota ASEAN.
Pada sesi pembukaan Mesyuarat CACJ Ke-13 yang diadakan pada 22 Julai, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon telah menyampaikan ucapan pembukaan bersama Ketua-ketua Hakim ASEAN yang lain, ketua-ketua delegasi serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN.
Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Hakim Mahkamah Besar NBD menegaskan komitmen teguh NBD dalam memperkukuhkan kedaulatan undang - undang serta meningkatkan kerjasama kehakiman di seluruh ASEAN.
Mengulas mengenai peranan badan kehakiman ASEAN yang semakin berkembang, Yang Amat Arif menyatakan bahawa perkembangan pesat dalam teknologi dan masyarakat, termasuk Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI), aset digital serta pertikaian berkaitan perubahan iklim, sedang mengubah landskap pentadbiran keadilan.
Yang Amat Arif turut menyatakan bahawa CACJ telah mengambil langkah proaktif dengan memajukan pelbagai inisiatif berkaitan teknologi mahkamah dan tadbir urus kecerdasan buatan, memperluaskan Portal e-Pembelajaran CACJ serta menggalakkan dialog mengenai keadilan iklim dan aset digital.
Inisiatif - inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama badan kehakiman ASEAN untuk terus bersifat adaptif, inovatif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Menekankan bahawa rakyat sentiasa menjadi teras sistem keadilan, Yang Amat Arif menggariskan kepentingan usaha berterusan majlis dalam bidang pendidikan dan latihan kehakiman, kesejahteraan hakim, penghakiman yang peka terhadap mangsa dalam kes pemerdagangan orang serta keadilan terapeutik (therapeutic justice).
Ketua Hakim Mahkamah Besar NBD menegaskan bahawa inisiatif-inisiatif tersebut memperkukuhkan matlamat bersama untuk memastikan keadilan dilaksanakan dengan penuh maruah, saksama dan belas ihsan, di samping meningkatkan keupayaan badan kehakiman di seluruh rantau ini.
Ketua Hakim Mahkamah Besar NBD turut menyentuh kejayaan NBD sebagai tuan rumah Program The Second ASEAN Multilateral Judicial Knowledge Exchange on Victim-Sensitive Adjudication of Trafficking in Persons Cases, yang telah diadakan awal tahun ini.
Yang Amat Arif menyatakan bahawa program tersebut mengesahkan semula nilai kerjasama kehakiman yang bermakna melalui pertukaran pengalaman, pembelajaran bersama serta hubungan profesional yang berkekalan dalam kalangan badan kehakiman ASEAN.
Semasa mesyuarat tersebut, Ketua-ketua Hakim ASEAN dan ketua-ketua delegasi telah dibentangkan dengan laporan mengenai aktiviti yang telah dilaksanakan, pencapaian yang diraih serta pelan kerja yang dikemukakan oleh pelbagai kumpulan kerja CACJ.
Antaranya ialah Kumpulan Kerja mengenai Pendidikan dan Latihan Kehakiman; Kumpulan Kerja mengenai Prosiding Sivil; Kumpulan Kerja mengenai Pengurusan Kes dan Teknologi Mahkamah; Kumpulan Kerja mengenai Portal Badan Kehakiman ASEAN; Kumpulan Kerja mengenai Pertikaian Rentas Sempadan yang Melibatkan Kanak-kanak; Kumpulan Kerja mengenai Mesyuarat ASEAN+; Kumpulan Kerja mengenai Pengendalian Prosiding Perbicaraan Melalui Persidangan Video; Kumpulan Kerja mengenai Keadilan Iklim; Kumpulan Berkepentingan Khas Hakim-hakim Insolvensi ASEAN; Kumpulan Berkepentingan Khas Hakim-hakim Harta Intelek ASEAN dan Kumpulan Berkepentingan Khas mengenai Sifat dan Status Aset Digital dan Maya.
Yang Amat Arif bersama delegasi turut menyertai beberapa mesyuarat sampingan bersempena Mesyuarat CACJ Ke-13.
Pada 21 Julai, Yang Amat Arif telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan The Honourable Chief Justice Sundaresh Menon dari The Supreme Court of Singapore serta Hakim-hakim Kanan Badan Kehakiman Singapura.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua ketua hakim negara menegaskan semula hubungan rapat dan kukuh yang telah lama terjalin antara institusi kehakiman kedua-dua negara serta komitmen bersama untuk terus memperkukuhkan kerjasama kehakiman.
Delegasi hakim dan pegawai kehakiman NBD turut menghadiri Mesyuarat Hakim-hakim Insolvensi ASEAN, Mesyuarat Hakim-hakim dan Pengamal Insolvensi ASEAN serta Mesyuarat Hakim-hakim dan Pengamal Harta Intelek ASEAN yang diadakan pada 21 Julai.
Pada akhir mesyuarat tersebut, ketua-ketua hakim dan ketua-ketua delegasi telah menandatangani Deklarasi Bangkok sebagai hasil daripada Mesyuarat CACJ Ke-13.