Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Rendah Pintu Malim
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Program 'Warisi Kuih Tradisi Kitani' dihasratkan untuk menerapkan minat dan memelihara serta mengekalkan warisan makanan dan kuih tradisi Brunei khususnya dalam kalangan murid-murid sekolah.
Hadir bagi merasmikan program berkenaan, Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram, dan seterusnya menyaksikan secara dekat aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program yang berlangsung di Dewan Jong Sarat, Sekolah Rendah Pintu Malim, di sini.
Juga hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi program berkenaan, Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa.
Program anjuran guru-guru Melayu Islam Beraja, guru Bahasa Melayu dan PIBG berkenaan dihasrat untuk memperkenalkan dan meningkatkan pengetahuan murid-murid mengenai kuih tradisi Brunei di samping menyemai rasa kecintaan untuk memelihara warisan kepada generasi daripada peringkat akar umbi.
Sebanyak enam jenis kuih tradisi telah diketengahkan dalam program berkenaan termasuk kelupis, sapit, penyaram, putu mayang dan cacah.