Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
CHNEGDU, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Jumaat, 24 Julai. - The 2026 APEC Digital and AI Ministerial Meeting telah diadakan di Chengdu, Republik Rakyat China dan dipengerusikan oleh Menteri Industri dan Teknologi Maklumat Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Lecheng di bawah tema 'Digital Technologies and AI for the Empowerment of an Asia-Pacific Community'.
Mesyuarat dihadiri oleh lebih daripada 170 perwakilan daripada ekonomi-ekonomi anggota APEC.
Semasa mesyuarat tersebut, ekonomi-ekonomi anggota APEC menegaskan semula komitmen terhadap APEC Putrajaya Vision 2040 ke arah mewujudkan sebuah komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040.
Mesyuarat turut mengambil maklum bahawa tema tersebut adalah selaras dengan keutamaan APEC 2026 iaitu 'Openness, Innovation, Cooperation' serta menyokong usaha berterusan di bawah APEC Internet and Digital Economy Roadmap dan The APEC Artificial Intelligence Initiative 2026 2030.
Sehubungan itu, mesyuarat juga mengiktiraf peranan berterusan APEC sebagai pemudah cara kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang di rantau ini melalui penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI).
Mesyuarat turut mengambil maklum bahawa ekonomi-ekonomi anggota APEC mempunyai pendekatan yang berbeza dalam dasar digital dan AI masing-masing, namun APEC kekal berada pada kedudukan yang strategik untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital dan AI bagi memperkasa rantau Asia-Pasifik.
Mesyuarat seterusnya telah memfokuskan perbincangan kepada lima bidang kerjasama utama. Pertama, mengiktiraf kepentingan keterhubungan digital yang sejagat dan bermakna serta menggalakkan usaha untuk meningkatkan kemampuan kos, kebolehcapaian dan kualiti rangkaian, khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, di samping menyokong penggunaan teknologi generasi baharu serta aliran data rentas sempadan yang dipercayai.
Kedua, membincangkan bagaimana teknologi digital dan AI dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan produktiviti dan menggalakkan penggunaannya secara bertanggungjawab dalam sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.
Penekanan turut diberikan kepada sokongan terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui penyediaan penyelesaian digital yang berpatutan serta mudah dilaksanakan.
Ketiga, menegaskan bahawa literasi digital, termasuk literasi dan kemahiran AI, merupakan elemen penting bagi memastikan penggunaan teknologi yang berkesan.
Sehubungan itu, mesyuarat menggalakkan pelaksanaan program pembangunan kapasiti, pendidikan, latihan dan kesedaran awam bagi melengkapkan masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menyertai dunia digital dengan yakin.
Keempat, mengiktiraf risiko yang berkaitan dengan pelanggaran data, penipuan dalam talian serta penyalahgunaan AI, menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan dalam talian, dan menyeru kepada kerjasama serta perkongsian maklumat yang lebih erat bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat, terjamin dan dipercayai.
Kelima, mengiktiraf bahawa pelaburan yang signifikan diperlukan bagi menyokong transformasi digital dan AI serta mengambil maklum peranan penting pendekatan sumber terbuka yang dipercayai dalam menggalakkan inovasi, dengan tetap menghormati aspek keselamatan, perlindungan data dan hak harta intelek.
Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) semasa The 2026 APEC Digital and AI Ministerial Meeting telah diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Delegasi turut disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof serta pegawai-pegawai kanan daripada MTIC dan Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Semasa mesyuarat ini juga, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan beberapa perbincangan dua hala bersama rakan-rakan sejawat dari Negara-negara Anggota ASEAN dan Republik Rakyat China bagi membincangkan usaha dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang digital.
Perbincangan turut meliputi pertukaran dasar mengenai transformasi kerajaan digital dan inovasi sektor awam, tadbir urus AI, tadbir urus data, pembangunan ekonomi digital serta keselamatan dalam talian, di samping meneruskan kerjasama praktikal melalui mekanisme ASEAN dan APEC.
Sebagai sebahagian daripada The 2026 APEC Digital and AI Ministerial Meeting, delegasi NBD yang diketuai oleh Setiausaha Tetap, MTIC, akan menyertai 2026 APEC High-Level Roundtable on Data for Growth yang akan diadakan pada 25 Julai 2026.
The 2026 APEC Digital and AI Ministerial Meeting telah menyediakan platform yang bermanfaat bagi NBD untuk menilai kemajuan transformasi digital berdasarkan kepada perspektif serantau. Perbincangan yang diadakan mencerminkan keselarasan antara bidang-bidang berkeutamaan serantau dengan aspirasi NBD untuk terus mempertingkatkan kesejahteraan rakyat melalui penerimagunaan AI yang bertanggungjawab, selamat dan inklusif.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan perkembangan teknologi yang semakin pesat, termasuk persediaan ke arah era teknologi kuantum, di samping mengiktiraf peralihan daripada era transformasi digital kepada era transformasi berteraskan AI.
Perkongsian pandangan dan amalan-amalan terbaik semasa mesyuarat ini akan dijadikan asas yang bernilai dalam menyokong pelaksanaan Digital Brunei 2030 secara berkesan.