Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Ihsan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 7 Ogos. - Rombongan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) berserta guru-guru serta murid-murid Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak yang dalam rangka lawatan muhibah ke Republik Singapura meneruskan lagi program lawatan pendidikan ke Sekolah Chua Chu Kang, Republik Singapura bagi mengukuhkan jaringan kerjasama serta berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan.
Rombongan diketuai oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri.
Lawatan rombongan ke Sekolah Chua Chu Kang pada 5 Ogos 2026 lalu disambut dan dialu-alukan oleh guru besar sekolah berkenaan bersama barisan tenaga pengajar sekolah.
Sepanjang lawatan, rombongan diberikan taklimat mengenai perkembangan dan pencapaian sekolah oleh guru besar, diikuti taklimat daripada penolong guru besar mengenai aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Antara perkara yang dikongsikan ialah pencapaian akademik murid, aktiviti kokurikulum (Co-Curricular Activities), kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pembangunan murid serta penglibatan syarikat-syarikat dalam menyokong program pendidikan sekolah.
Rombongan turut dibawa melawat ke beberapa kemudahan sekolah, termasuk makmal komputer, perpustakaan, bilik murid berkeperluan khas serta kemudahan pembelajaran lain bagi meninjau pelaksanaan pembelajaran dan persekitaran pendidikan di sekolah berkenaan.
Sesi perbincangan antara kedua-dua belah pihak turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan, termasuk cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan program lawatan pendidikan, program pengayaan (enrichment), seminar serta inisiatif lain yang dapat menyumbang kepada peningkatan pencapaian murid.
Lawatan berkenaan diakhiri dengan persembahan kebudayaan oleh murid-murid STJ PGGMB Lambak dan pertukaran cenderamata antara kedua-dua belah pihak.
Sementara itu, pada 6 Ogos 2026, rombongan meneruskan program lawatan pendidikan ke beberapa lokasi pembelajaran berkonsepkan interaktif di Republik Singapura, antaranya Gardens by the Bay dan Science Centre Singapore.
Di Gardens by the Bay, para murid berpeluang mengenali pelbagai spesies flora serta replika hidupan yang dipamerkan, sekali gus menambah pengetahuan mereka mengenai biodiversiti dan alam semula jadi.
Manakala di Science Centre Singapore, para murid didedahkan kepada pelbagai pameran dan inovasi sains yang dipersembahkan melalui kaedah interaktif dan simulasi, sekali gus memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna.
Lawatan berkenaan memberikan peluang kepada murid-murid untuk menimba ilmu, memperluaskan pengetahuan serta memperoleh pengalaman baharu yang dapat dimanfaatkan dalam pembelajaran di bilik darjah.
Para murid turut menyifatkan program lawatan berkenaan sebagai pengalaman yang sangat bermanfaat dan berharap agar ilmu serta pendedahan yang diperoleh dapat dikongsi bersama rakan-rakan setibanya di tanah air.