Mengukuhkan kefahaman asas kanak-kanak mengenai solat, wuduk

12 Og 2026 - 6:19am

Siaran Akhbar dan Foto : Nuqra Quranic Beribi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. – Seramai 41 kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun telah menyertai program cuti sekolah Nuqra Soulcraft : Level Up Your Solat anjuran Nuqra Quranic Beribi.

Program berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman asas kanak-kanak mengenai solat dan wuduk khususnya tatacara wuduk yang tertib, pergerakan solat serta bacaan tahiyyat akhir dengan betul.

Berinspirasikan elemen permainan popular Minecraft, program berkenaan mengetengahkan pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif dan menyeronokkan.

Peserta turut dibimbing secara langsung untuk mempraktikkan wuduk dan solat, sekali gus membina keyakinan dalam melaksanakan ibadah berkenaan dalam kehidupan seharian.

Program berkenaan diharap dapat memupuk rasa cinta terhadap solat sejak usia muda serta menjadikan pembelajaran agama lebih dekat dan menarik bagi kanak-kanak.

Nuqra Soulcraft : Level Up Your Solat merupakan antara usaha berterusan Nuqra Quranic Beribi dalam menyediakan pendidikan Islam yang kreatif dan bersesuaian dengan perkembangan generasi muda.