Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
TUTONG, Jumaat, 24 Julai. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Persembahan Pentarama sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 di Daerah Tutong, bertempat di Pentas Perayaan, kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini.
Pentarama, iaitu pentas, tari dan drama ialah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak 1988 untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas.
Melalui program berbentuk ‘infotainment’ berkenaan, Jabatan Penerangan secara tidak langsung memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada pelbagai peringkat kelompok sasaran tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara, termasuk masalah sosial dalam kalangan masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Tenaga) Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.
Juga hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Haji Emzah selaku Pengerusi Persembahan Pentarama; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan Pentarama; dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; serta penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong dan pelbagai agensi selaku rakan strategik Cawangan Penerangan Daerah Tutong.
Persembahan dimulakan dengan lagu tema 'Pentarama' dan tarian daripada Penari De Mahkota Dance Group dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis-artis tanah air, iaitu Marsya Dania, Nurul Hazimah, Andie Othman, Awangku Shawn dan Awangku Fiq.
Kumpulan Pento 'XYZ' di bawah naungan PGS RMF Production yang terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan pula mempersembahkan drama bertajuk 'Bukan Sekadar Gurauan'.
Drama berkenaan mengisahkan tentang bagaimana satu perbuatan penyalahgunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mulanya dianggap sebagai gurauan namun akhirnya berkembang menjadi perlakuan jenayah yang lebih serius, iaitu jenayah rasuah.
Melalui penceritaan berkenaan, penonton turut didedahkan kepada kepentingan menggunakan teknologi secara beretika serta kesan buruk penyalahgunaannya.
Para penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib & Loh (BruHaha) yang menyampaikan mesej kesedaran mengenai jenayah penipuan (scam) dan perkongsian maklumat yang sahih dan tepat.
Persembahan yang diselitkan dengan unsur lawak jenaka berkenaan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang pelbagai taktik penipuan yang semakin berleluasa, di samping menggalakkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya.
Selain itu, turut diadakan ialah Kuiz Pentarama untuk para penonton, dan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu 'Dirgahayu'.
Persembahan Pentarama berkenaan akan diteruskan dengan persembahan penutup di Daerah Belait, pada Sabtu, 25 Julai 2026 di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan Persembahan Pentarama bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Hari Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.