Siaran Akhbar dan Foto : Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai. - Pembaharuan terkini terhadap proses visa dan imigresen di Negara Brunei Darussalam (NBD) merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan penyampaian Perkhidmatan Awam serta mewujudkan persekitaran yang lebih cekap dan kondusif bagi perniagaan dan pelabur.
Bagi membantu perniagaan memahami dengan lebih baik serta memanfaatkan saluran yang disediakan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah menganjurkan Siri Libat Urus BEDB Ke-7 di Auditorium Utama, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, baru-baru ini.
Sesi tersebut menghimpunkan seramai 100 peserta yang terdiri daripada syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDI), Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), persatuan perniagaan serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Bertemakan ‘Memahami Visa, Pas Imigresen, Pas Jangka Panjang, Kad Perjalanan Perniagaan APEC dan Penguatkuasaan Imigresen’, sesi berkenaan menampilkan taklimat oleh JIPK mengenai kelayakan visa, prosedur permohonan, laluan imigresen jangka panjang serta keperluan pematuhan.
Taklimat tersebut merangkumi maklumat mengenai pas jangka panjang, visa lawatan perniagaan dan profesional, Visa / Pas Lawatan Profesional selama 12 bulan yang ditawarkan kepada pelabur asing yang layak dengan sokongan BEDB serta Kad Perjalanan Perniagaan APEC yang memudahkan perjalanan perniagaan jangka pendek bagi ahli perniagaan yang layak ke ekonomi-ekonomi APEC yang mengambil bahagian.
Para peserta turut diberikan penerangan mengenai penguatkuasaan imigresen serta tanggungjawab mereka untuk mematuhi keperluan yang berkuat kuasa. Semasa sesi soal jawab, para peserta mendapatkan penjelasan mengenai kategori visa dan pas yang bersesuaian, syarat kelayakan, dokumentasi, pembaharuan serta tanggungjawab pematuhan.
Panduan yang diberikan akan membantu perniagaan menyediakan permohonan yang lebih lengkap, mengurangkan kelewatan yang boleh dielakkan serta mengenal pasti laluan imigresen yang paling sesuai dengan keperluan operasi mereka.
Proses yang lebih jelas dan mudah dijangka turut membantu perniagaan mendapatkan bakat global dan kepakaran khusus, merancang tenaga kerja, mengekalkan kesinambungan operasi serta meneroka peluang pengembangan dan pelaburan baharu. Perkara-perkara ini merupakan pertimbangan penting bagi pelabur sedia ada dan bakal pelabur yang menilai NBD sebagai lokasi operasi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Purih Satria Resources dan Timbalan Presiden (Perdagangan), Persekutuan Pengusaha Melayu Brunei (PPPMB), Awang Haji Suni bin Haji Sulaiman mengalu-alukan peluang yang diberikan kepada komuniti perniagaan untuk berinteraksi secara langsung dengan JIPK.
“Bagi komuniti perniagaan, kefahaman yang jelas mengenai keperluan visa dan imigresen amat penting bagi perancangan tenaga kerja dan operasi yang berkesan. Penglibatan secara langsung dengan JIPK membolehkan syarikat memahami dengan lebih baik pilihan yang tersedia, menyediakan dokumen yang diperlukan serta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih yakin,” katanya.
Dayang Hartini binti Haji Mohd. Salleh dari HHMS Aquaculture Sdn. Bhd. turut mengalu-alukan peluang tersebut.
“Pengurusan visa dan imigresen boleh memberi impak yang besar terhadap perancangan tenaga kerja dan operasi perniagaan. Sesi ini memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada perniagaan mengenai saluran yang tersedia, dokumen yang diperlukan serta tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Akses secara langsung kepada agensi yang berkaitan juga membolehkan perniagaan mengemukakan soalan-soalan praktikal berdasarkan keperluan operasi mereka,” jelas beliau.
Peserta terdiri daripada wakil-wakil Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NCCIBD), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) dan PPPMB, di samping syarikat FDI, PMKS tempatan serta perniagaan dalam ekosistem BEDB.
Melalui Siri Libat Urus BEDB, BEDB menghubungkan komuniti perniagaan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi menjelaskan keperluan kawal selia serta membincangkan isu-isu operasi yang dihadapi. Inisiatif ini menyokong pembentukan persekitaran perniagaan yang lebih responsif, memperkukuh kesiapsiagaan perniagaan dan pelaburan, serta menyumbang kepada matlamat jangka panjang kepelbagaian ekonomi NBD.
Perniagaan yang berminat untuk menyertai Sesi-sesi Siri Libat Urus BEDB pada masa akan datang atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sokongan pembangunan perusahaan yang disediakan adalah dialu-alukan untuk mengikuti akaun rasmi BEDB di Instagram ‘@bedbbrunei’, melayari laman sesawang ‘www.bedb.gov.bn’ atau menghubungi Talian Bantuan Perniagaan BEDB menerusi talian+673 8363442 atau +673 8330520 pada waktu pejabat.