Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERIBI, Rabu, 26 Ogos. - Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (BRC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Borneo Island bagi memperkukuh kerjasama kemanusiaan serta kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap bencana di kawasan Pulau Borneo.
Majlis penandatanganan tersebut berlangsung di Ibu Pejabat BRC di Kompleks Annajat, Beribi, pagi tadi.
Hadir bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan MoU berkenaan Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, selaku Pengerusi Kebangsaan MRCS.
Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam rangka Lawatan Rasmi ke Ibu Pejabat BRC.
Lawatan tersebut turut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama dan jaringan kemanusiaan antara kedua-dua Persatuan Bulan Sabit Merah, khususnya dalam bidang pengurusan bencana, kesiapsiagaan kecemasan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti.
Menerusi MoU yang dijalinkan, ia mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama kemanusiaan serta mekanisme tindak balas bencana merentasi sempadan, khususnya yang melibatkan kawasan di Pulau Borneo termasuk Sabah dan Sarawak, di samping kawasan-kawasan yang mempunyai kepentingan serta keperluan kemanusiaan rentas sempadan.
MoU berkenaan juga membuka ruang kepada kerjasama yang memberikan tumpuan kepada aspek pengurusan dan pengurangan risiko bencana, perkongsian maklumat, pelaksanaan bantuan kemanusiaan bersama, pembangunan kapasiti serta penyelarasan tindak balas kecemasan.
Selain majlis penandatanganan MoU, lawatan Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz turut diisikan dengan Sesi Muzakarah bersama Ahli Lembaga Jemaah Tadbir BRC.
Menerusi sesi muzakarah tersebut, ia menjadi platform bagi pertukaran pandangan mengenai perkembangan semasa, cabaran dan hala tuju kerjasama kemanusiaan antara kedua-dua persatuan kebangsaan.
Semasa lawatan berkenaan, YTM Brigedier Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz turut berpeluang menyaksikan pameran dan demonstrasi simulasi menyelamat yang memperlihatkan keupayaan serta tahap kesiapsiagaan BRC dalam memberikan respons terhadap situasi kecemasan dan bencana.
Atur cara lawatan seterusnya menyaksikan YTM Brigedier Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz mengadakan lawatan ke BRC National Emergency Operations Centre (NEOC) bagi melihat dengan lebih dekat fungsi dan peranan pusat berkenaan dalam menyokong koordinasi serta pengurusan tindak balas terhadap bencana dan situasi kecemasan.