Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini mengalami keadaan berjerebu. Keadaan ini adalah disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat daripada kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke NBD.
Imej satelit yang diterima daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan sebanyak 185 titik panas pada 1 Ogos 2026 dan 371 titik panas pada 2 Ogos 2026 di Kalimantan.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan bahawa NBD pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin pada amnya bertiup dari arah Barat Daya di rantau ini.
Berdasarkan ramalan turunan hujan tinjauan bermusim bagi bulan Ogos 2026, jumlah turunan hujan bagi NBD diramalkan 'Sedikit Bawah Normal', dengan jumlah turunan hujan sekitar 20 peratus hingga 40 peratus di bawah nilai normal bulanan bagi bulan Ogos, iaitu 230mm.
Pada masa yang sama, suhu udara maksimum harian dijangka berada dalam lingkungan 34 darjah celsius hingga 36 darjah Celsius.
Bacaan kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara PM10 (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah bagi NBD adalah tinggi berbanding dengan hari-hari biasa.
Kualiti udara bagi NBD keseluruhannya adalah di tahap baik ke sederhana. Bacaan indeks pencemaran PSI yang tertinggi hari ini (Sabtu, 8 Ogos 2026) sejak pukul 9.00 pagi hingga pukul 4.00 petang, dicatatkan dalam infografik / rajah yang disediakan. Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik. Bacaan PSI di antara 50 dan 100 adalah sederhana.
Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar, manakala bagi kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua dan mereka yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung, atau mempunyai alahan kepada debu adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.
Orang ramai yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan atau sesak nafas adalah dinasihatkan untuk berjumpa doktor di Pusat Kesihatan terdekat.
Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sentiasa terus memantau situasi dari semasa ke semasa. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB, laman sesawang dan Instagram JASTRe.
Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat di Talian Kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput.
Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering.
Orang ramai boleh menghubungi Hotline Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan.
Maklumat lanjut mengenai bacaan PSI boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.env.gov.bn dan Instagram (@jastre.bn) manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.moh.gov.bn atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan. Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).