NBD perkukuh kerjasama ASEAN banteras ancaman dadah

16 Okt 2026 - 8:16am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Isu Dadah Kali Ke-9 (9th ASEAN Ministerial Meeting on Drug Matters - AMMD) yang diadakan secara dalam talian dan dipengerusikan oleh Pengerusi Dangerous Drugs Board, Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Oscar F. Valenzuela.

Delegasi NBD diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, yang menegaskan bahawa dadah bukan sekadar isu sosial atau penguatkuasaan undang-undang, ia merupakan ancaman keselamatan negara yang menghakis daya tahan keluarga, menjejaskan keselamatan awam dan menyuburkan jenayah terancang rentas negara.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) turut menarik perhatian bahawa 42 peratus daripada jumlah tangkapan berkaitan dadah di sepanjang tahun lalu melibatkan individu berumur di bawah 35 tahun.

“Mereka adalah generasi muda kita, dan ini menunjukkan bahawa kita mesti bertindak lebih awal dan dengan lebih tepat,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menekankan bahawa tiada negara yang mampu menangani ancaman ini secara bersendirian.

Yang Berhormat turut mengetengahkan operasi bersama tujuh agensi penguatkuasaan dari lima buah negara termasuk NBD yang berjaya merampas hampir 110 kilogram methylamphetamine pada tahun 2025.

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat menyatakan bahawa pemulihan adalah sesuatu yang boleh dicapai, dan setiap individu yang memilih jalan tersebut wajar mendapat sokongan kita serta peluang kedua yang sebenar untuk membina semula kehidupan.

Mesyuarat turut menyokong pelanjutan tempoh pelaksanaan ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016-2025 bagi membolehkan aktiviti-aktiviti yang masih belum diselesaikan dilengkapkan, sementara Kajian Semula Akhir (Final Review) yang diterajui oleh Republik Filipina dimuktamadkan.

Mesyuarat juga mengambil maklum penyampaian Kenyataan Bersama ASEAN oleh Republik Filipina semasa Sesi Ke-69 Commission on Narcotic Drugs di Vienna, yang mencerminkan pendirian dan komitmen bersama ASEAN dalam menangani ancaman dadah di peringkat global.

Antara hasil utama mesyuarat ialah pengesahan Concept Note on Updating Annex I of the ASEAN Charter concerning the Nomenclature of ASOD dan Guidelines of Practices and Protocols for the AMMD and Its Subsidiary Mechanisms.

Mesyuarat turut mengadakan acara memperingati Hari Memperingati Mangsa Dadah ASEAN (ASEAN Drug Victims Remembrance Day) buat julung kalinya sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah.

Mesyuarat AMMD Kali Ke-9 telah didahului oleh Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Isu Dadah (Preparatory-ASOD) pada 14 Oktober 2026. Mesyuarat AMMD Kali Ke-10 akan dipengerusikan oleh Myanmar.

Turut menyertai delegasi NBD ialah Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail, merangkap Pengarah Biro Kawalan Narkotik; serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Biro Kawalan Narkotik.