Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Ihsan Pejabat Peguam Negara, Jeffrey Wong
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Pejabat Peguam Negara dan Supreme People’s Procuratorate of the People’s Republic of China telah mengadakan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pendakwaan yang berlangsung petang tadi di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.
MoU berkenaan telah ditandatangani antara Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam dengan The Supreme People’s Procuratorate of the People’s Republic of China semasa 16th China-ASEAN Prosecutors-General conference (CAPGC) yang berlangsung pada 21 hingga 22 Oktober 2026.
Pemeteraian berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala yang telah lama terjalin erat antara kedua-dua buah negara.
MoU terdahulu telah ditandatangani pada 2002 dan memberi tumpuan kepada kerjasama antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan Republik Rakyat China dalam hal ehwal pendakwaan.
MoU baharu berkenaan bertujuan untuk memperkukuh dan memperluas lagi kerjasama yang sedia ada antara perkhidmatan pendakwaan kedua-dua buah negara khususnya dalam meningkatkan keupayaan menangani jenayah bukan tradisional dan jenayah yang didorong oleh teknologi.
Ini termasuk kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan Kecerdasan Buatan (AI), jenayah kewangan seperti penipuan dalam talian, serta kesalahan-kesalahan yang melibatkan mata wang kripto dan aset maya.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, merangkap Pendakwa Raya; serta Chief Grand Prosecutor and Prosecutor General of the People’s Republic of China, Tuan Yang Terutama Mr. Ying Yong.
Yang Berhormat Peguam Negara dalam ucapannya, menegaskan bahawa kerjasama antara NBD dengan Republik Rakyat China adalah penting, khususnya dalam perkara yang melibatkan perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital dan era digital.
Adalah diharapkan agar MoU berkenaan dapat memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua buah negara serta membuka ruang kepada usaha yang lebih giat dalam membanteras jenayah rentas sempadan, memandangkan ancaman jenayah terus berkembang dan melangkaui sempadan negara.