Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Satu operasi sepadu sekatan jalan raya telah dilaksanakan di dua lokasi, iaitu Jalan Residency dan Jejambat Lebuhraya Muara-Tutong. Operasi berkenaan melibatkan seramai 82 pegawai dan anggota dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Hasil operasi, PPDB telah mengeluarkan lapan saman, satu doket dan dua peringatan atas kesalahan berkaitan lalu lintas dan kenderaan.
JPD pula mengeluarkan 5 saman atas kesalahan berkaitan kenderaan, manakala JKED telah mengesan 18 kesalahan memiliki barang tegahan. BKN turut mengesan satu kes penyalahgunaan dadah.
Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan secara bersepadu bagi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang, di samping membendung kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam.