Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Antarabangsa Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. – Pelajar Tahun 13 Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) bagi kohort 2026 mencatatkan keputusan cemerlang dalam Program Diploma International Baccalaureate (IB), dengan skor tertinggi sebanyak 42 daripada 45 mata.
Pencapaian tersebut yang diraih oleh beberapa orang pelajar, menyerlahkan kecemerlangan akademik kohort berkenaan selepas menamatkan pengajian.
Hampir separuh daripada keseluruhan calon, iaitu 46.5 peratus, memperoleh 34 mata atau lebih, mencerminkan prestasi akademik yang kukuh secara keseluruhan.
Secara keseluruhan, pelajar Tahun 13 ISB kohort 2026 mencatatkan purata 33 mata, iaitu 10 peratus lebih tinggi berbanding purata global.
Kohort berkenaan turut mencatatkan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus, jauh melebihi kadar kelulusan global sebanyak 82.61 peratus.
Selain itu, sebanyak 10 peratus daripada kohort berjaya memperoleh 40 mata atau lebih, bersamaan dengan gred A*AA atau lebih tinggi pada peringkat A-Level.
Program Diploma IB merupakan program pendidikan selama dua tahun bagi pelajar berumur antara 16 hingga 18 tahun yang menekankan pemikiran kritis, pembelajaran pelbagai disiplin dan pemahaman antara budaya, sekali gus menyediakan laluan ke universiti terkemuka di seluruh dunia.
ISB telah melaksanakan Program Diploma IB sejak tahun 2001.
Pengetua Eksekutif ISB, Dominic Morley, berkata keputusan berkenaan mencerminkan keupayaan akademik, daya tahan dan komitmen para pelajar terhadap pembelajaran.
“Kami amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh pelajar kami. Keputusan IB yang cemerlang ini mencerminkan keupayaan akademik, daya tahan dan komitmen mereka terhadap pembelajaran.
“Diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana ketegasan akademiknya dan sebagai pintu masuk ke universiti terkemuka dunia, Program Diploma IB melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan minda untuk berkembang maju dalam dunia global.
“Keputusan ini mengukuhkan lagi reputasi ISB untuk kecemerlangan akademik. Tahniah kepada Kelas 2026 - kami berharap dapat melihat pencapaian awda pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, setiap pelajar daripada kohort berkenaan yang memohon ke universiti pada tahun 2026 telah menerima tawaran pengajian.
Sebanyak 34 peratus daripada mereka menerima tawaran tempat di universiti yang berada dalam kelompok 50 terbaik dunia, manakala 59 peratus menerima tawaran daripada universiti yang berada dalam kelompok 250 terbaik dunia.
Seramai 88 peratus daripada pelajar berkenaan juga akan melanjutkan pengajian di universiti pilihan pertama mereka.
Selain itu, biasiswa bernilai lebih BND1 juta telah diberikan kepada kohort berkenaan setakat ini, mencerminkan pengiktirafan terhadap pencapaian akademik para pelajar.
Di ISB, pelajar Program Diploma IB turut menerima bimbingan universiti dan kerjaya secara peribadi daripada pasukan Pra-Universiti sekolah.
Kejayaan pelajar Tahun 13 kohort 2026 berkenaan mencerminkan komitmen berterusan ISB terhadap kecemerlangan akademik sebagai sebuah sekolah inklusif, di samping mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan utama bagi pendidikan IB di Negara Brunei Darussalam.
Program tersebut juga terus menyediakan para pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian serta mencapai kejayaan di persada antarabangsa.