Pelancaran buku, perkongsian ilmu sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia

27 Okt 2026 - 7:02am

Oleh : Aimi SaniFoto : Pg. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

GADONG, Isnin, 26 Oktober. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan dengan kerjasama Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku dan Sesi Perkongsian Ilmu sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 bertempat di The Rizqun International Hotel, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir, Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Penolong Rektor (Penyelidikan, Antarabangsa dan Dasar) UNISSA, Profesor Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad. Beliau menekankan bahawa isu kesihatan mental berkait rapat dengan peranan setiap individu dalam masyarakat, sama ada sebagai pendidik, rakan sekerja mahupun ahli keluarga.

Majlis disusuli dengan pelancaran buku bertajuk 'Legal and Policy Approaches for Mental Health Issues in Brunei Darussalam' yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Buku tersebut merupakan hasil penyelidikan geran di bawah University Research Leave and Grants UNISSA yang diketuai oleh Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad selaku Penyelidik Utama dan Pengarang Utama.

Buku ini meneliti isu kesihatan mental melangkaui rawatan klinikal semata-mata, dengan menggabungkan Analisis Doktrin & Perundangan, Perbandingan Global & Serantau, Perspektif Islam dan Kajian Empirikal Tempatan.

Majlis disusuli dengan sesi perkongsian ilmu dan sesi soal jawab oleh Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad yang membincangkan penemuan kajian serta hala tuju pembaharuan berteraskan hak asasi manusia dan maruah insan.

Juga hadir pada majlis tersebut, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan berserta wakil dari Jabatan Perundangan Islam, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Pendakwaan Syarie, Jabatan Siasatan Jenayah (Pasukan Polis Diraja Brunei) dan Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan selaku pihak berkepentingan yang terlibat dalam penghasilan buku tersebut.