Pendaftaran SPB Oktober 2026 kini dibukakan

27 Og 2026 - 5:36am

Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan

BERAKAS, Rabu, 26 Ogos. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah membukakan pendaftaran Peperiksaan Sijil Perdagangan Brunei (SPB) bagi bulan Oktober 2026.

Pendaftaran peperiksaan adalah dibukakan kepada calon-calon yang berdaftar di Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan (CET) dan calon-calon persendirian.

Borang pendaftaran dan keterangan lanjut berkaitan pendaftaran boleh diperoleh di Kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok ‘C’, Kementerian Pendidikan semasa waktu pejabat dibuka mulai Khamis, 27 Ogos 2026 hingga Khamis, 24 September 2026.

Pembayaran bolehlah dibuat di Kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok ‘C’, Kementerian Pendidikan secara wang tunai sahaja pada setiap Isnin hingga Khamis pada sebelah pagi dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan sebelah petang dari pukul 1.30 petang hingga 2.30 petang kecuali Sabtu, yang bermula pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi sahaja.

Borang pendaftaran peperiksaan yang telah lengkap berserta dengan dokumen yang diperlukan hendaklah dikembalikan tidak lewat daripada Khamis, 24 September 2026.